Bina Semula Kekuatan UMNO, Pernah Kalah Tapi Bangkit Kembali – Khairul Azwan
KUALA LUMPUR, 12 Julai – UMNO Bahagian Pasir Salak berikrar untuk terus bangkit membina kekuatan sekaligus memperkasa parti keramat ini supaya kembali menjadi pilihan rakyat.
Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata ini dapat dilakukan dengan semangat kebersamaan dalam kalangan akar umbi parti serta dorongan daripada kepimpinan tertinggi di peringkat pusat dan negeri.
“Insya-Allah ambil pengajaran daripada pengalaman dan kisah yang lepas tidak semestinya apabila pernah kalah, itu bukan bermakna tidak boleh bangkit semula itulah prinsip saya.
“Bukan berapa kali kalah tetapi pantas mana bangkit untuk membina semula kemenangan untuk membina perjuangan kita.
“Saya minta jasa baik daripada pimpinan, bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat negeri dan pusat. Kalau boleh bimbinglah kami bagilah peluang kepada membina semula kekuatan Pasir Salak,” katanya ketika Siri Jelajah Penerangan yang diadakan di bahagian tersebut, baru-baru ini.
Khairul Azwan dalam pada itu turut menambah bahawa kekuatan tersebut sudah tentunya memerlukan kesungguhan daripada setiap daripada ahli UMNO untuk teguh dan ikhlas serta terus istiqamah melaksanakan gerak kerja terbaik untuk rakyat dan parti.
Jelas beliau, perkara tersebut penting sebagai usaha untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti pembangkang pada pilihan raya umum yang lalu.
“Saya nak bawa satu kepimpinan yang penuh dengan keikhlasan namun mesti bermula dengan jiwa kita kerana kalau hati jelas, teguh, ikhlas nak memastikan Pasir Salak ini kuat, UMNO kembali kuat, nak memenangi ketiga-tiga kursi pada pilihan raya mesti bermula dengan cawangan.
“Hari ini, kita ada 16,000 lebih ahli UMNO dalam kawasan ini pengundi lebih 75,000 orang kalau setiap ahli pegang lima orang pengundi, kita ada lebih 70,000 pengundi sebenarnya yang bawa kawalan kita.
“Saya tak pasti strategi ini boleh berjaya tapi bayangkan kalau semua ahli UMNO 16,000 itu bekerja untuk memenangkan pihak raya, insya-Allah akan berjaya,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyambut baik langkah dilakukan Penerangan UMNO Malaysia dalam melaksanakan siri jelajah ini termasuk memberikan pencerahan kepada akar umbi berkenaan kecerdasan buatan (AI) serta pengaruhnya dalam kempen-kempen politik.
“Belajar pasal AI serta kesan-kesan yang berhasil daripada teknologi ini supaya kita tak mudah tertipu. Langsung boleh menyebabkan imej yang negatif terhadap pemimpin, jadi kita perlu mahir dan manfaatkan penggunaannya,” ujar beliau. – UMNO Online