Sentiasa Bersama Susah Dan Senang… UMNO Ini Lahir Daripada Sokongan Rakyat – Mohd Rafi

GERIK, 12 Julai – UMNO adalah sebuah parti yang lahir daripada perut rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hasan.

Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) sentiasa meneruskan gerak kerjanya untuk membantu rakyat meskipun parti tersebut berada di ambang kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Kenapa kita menang ataupun kalah, susah ataupun senang … UMNO terus bantu rakyat? Gerik dan Labuan sama. Meskipun kalah kita tetap buat kerja bantu rakyat, yang menang duduk rumah. Ini kerana UMNO keluar daripada perut rakyat. Parti lain keluar daripada perut UMNO.

“UMNO satu-satunya parti Melayu yang keluar daripada perut rakyat. Itu sebab UMNO ini susah ataupun senang, menang ataupun kalah, jadi kerajaan ataupun pembangkang, akan terus membela nasib rakyat. Bagitahu kepada rakyat di luar. Biarlah orang cakap kita tidak sedar diri, kalah masih mahu buat kerja. Ini kerana kami lahir dari perut rakyat. Itulah UMNO. Parti lain semua keluar dari perut UMNO, bukan perut rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Program Jelajah Penerangan UMNO di UMNO Bahagian Gerik pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa UMNO telah menjadi kilang untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti.

“Mungkin adik-adik Pergerakan Pemuda dan Puteri tidak tahu. Pas itu keluar daripada perut UMNO. Tahun 1954, Ahmad Fuad, Pengerusi Biro Agama UMNO bergaduh dengan Presiden UMNO ketika itu, keluar parti dan menubuhkan Pas.

“Tahun 1954, PKR keluar daripada perut UMNO. Perdana Menteri sekarang itu adalah daripada perut UMNO. Hebatnya UMNO kerana melahirkan Perdana Menteri pertama hingga ke sepuluh. PPBM pun sama, keluar dari perut UMNO juga.

“… yang tidak keluar daripada perut UMNO ini MCA dan MIC sahaja. Lain-lain parti semua dari UMNO. Ini menjadi kebanggaan kita. Kita sahaja parti Melayu yang keluar daripada perut rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pemimpin dan akar umbi untuk tidak bersikap defensif dan memberikan penerangan kepada rakyat di luar mengenai situasi sebenar dihadapi oleh parti.

“UMNO sudah lahir pada tahun 1946. Tujuannya adalah untuk menuntut kemerdekaan. Selepas kita dapat kemerdekaan, asas perjuangan UMNO dari dulu sehingga sekarang adalah agama, bangsa dan tanah air (ABaTa).

“Kita satu-satunya parti yang bukan dilahirkan atas dasar kekecewaan dan pengkhianatan. Ini belum kita beritahu masyarakat di luar. Yang lain semua atas dasar kekecewaan dan pengkhianatan.

“Kita perlu beritahu rakyat dan tidak bersikap defensif sahaja. Kadang-kadang kita perlu menyerang bagi memberi kefahaman kepada masyarakat di luar sana,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.