Kembalikan Sokongan Rakyat, Pemimpin UMNO Perlu Bina Persepsi Positif – Md Alwi
PASIR SALAK, 11 Julai – Pemimpin UMNO perlu membina persepsi positif bagi mengembalikan semula kepercayaan dan sokongan rakyat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.
Jelasnya, para pemimpin dan akar umbi perlulah bekerja keras untuk membina semula kekuatan parti seperti pada zaman kegemilangannya sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat.
“UMNO sekarang ini adalah parti yang tidak menang. Kita tidaklah kalah tetapi kita tidak menang. Kita menang hanya 26 kerusi sahaja dan tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan. Tetapi akhirnya kita duduk dalam kerajaan dengan takdir Allah.
“Harapan kita mudah-mudahan dengan beradanya kita dalam kerajaan ini, kita boleh membina kekuatan semula. Ini kerja kita pada hari ini, untuk membina kekuatan semula agar kita kembali menguasai negara seperti zaman dahulu.
“Kalau kita lihat pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, macam-macam perkara yang beliau dah lakukan untuk membantu rakyat. Tetapi, beliau difitnah sehingga akhirnya kita kalah. Sekarang ini rakyat mula merindukan beliau dan mengharapkan ‘the best prime minister’ ini untuk kembali. Tetapi di mana beliau sekarang?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena program Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Pasir Salak pada Ahad.
Menurutnya, parti perlu menggunakan pendekatan baharu untuk memperoleh semula sokongan rakyat.
“Kita tidak boleh selamanya bercakap kepada rakyat mengenai jasa kita dahulu. Mereka tidak peduli dan ingat pun. Usahkan orang lain, anak sendiri pun tidak ingat. Apa lagi rakyat. Kita kena menggunakan pendekatan baharu untuk menarik semula sokongan mereka.
“Parti lawan kita Perikatan Nasional (PN) telah membina imej. Mereka menggunakan ‘syiar Islam’. UMNO ada imej satu ketika dahulu. Pemimpin-pemimpin kita pun ada imej masing-masing. Imej itu yang penting dalam kepimpinan. Sebab itu sekiranya nak jadi pemimpin besar, bina imej yang akan membuatkan rakyat kagum.
“Bina kekuatan yang orang hormati. Apabila pemimpin dihormati, ada imejnya tersendiri barulah rakyat akan senang untuk mendekati kita. Tetapi membina syiar itu lebih penting. Di manakah terletaknya syiar kita? Jawapannya daripada integriti kita. Kita mesti bela parti kita supaya orang Melayu percaya bahawa UMNO ini ada syiarnya sendiri dan akan mempertahankan hak mereka,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa imej UMNO dalam mempertahankan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu tidak boleh berubah sama sekali.
“Kita mesti kekal mempertahankan prinsip kita. Imej UMNO mesti tidak boleh berubah. Mesti kekal mempertahankan orang Melayu dan agama Islam dan duduk di depan (untuk membela). Insya-Allah kepercayaan akan balik kepada kita dengan syarat kita sendiri faham apa perjuangan kita.
“Ketua UMNO Bahagian, Khairul Azwan Harun mesti memastikan Pasir Salak ini kekal. Pertahankan UMNO ini. Tetapi UMNO hanya boleh dipertahankan sekiranya kita berjiwa besar,” katanya lagi. – UMNO Online