Siri Jelajah Penerangan UMNO Beri Manfaat, Teruskan Strategi Sampaikan Info Berkesan
KANGAR, 9 Julai – Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang digerakkan ke bahagian-bahagian seluruh negara adalah pendekatan yang sangat bermanfaat dalam strategi menyampaikan informasi yang bukan saja efisyen dan praktikal tetapi juga memberi kesan, kata Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Fathul Bari Mat Jahya.
Ujarnya, aplikasi pendekatan dan method baharu ini bukan saja menerangkan penggunaan media sosial yang biasa bahkan dari sudut memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan atau AI (artificial intelligence) dan sebagainya.
“Dan yang keduanya dialog dibuat memberi pencerahan yang penting untuk manfaat kepimpinan di peringkat cawangan khususnya penerangan bagi menyampaikan maklumat kepada anggota akar umbi. Ini kerana khalayak yang memenuhi dewan dapat bertanyakan pelbagai soalan secara terus.
“Di samping Penerangan UMNO Malaysia memberikan penjelasan isu-isu semasa yang hangat ketika ini seperti isu blackrock, isu subsidi dan juga kerjasama BN-PH yang saya kira dah lama dibahaskan tapi di peringkat bawah itulah isu yang masih dibincangkan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujar Fathul Bari, paling penting kehadiran Penerangan UMNO Malaysia membuktikan komitmen parti untuk terus memberikan penerangan dan penjelasan kepada kepada anggota parti di bawah.
“Tugas kami di bahagian pula adalah untuk turun ke bawah dan sampaikan maklumat tepat.
“Insya-Allah mingggu hadapan akan ada mesyuarat UMNO Bahagian Kangar maka kami akan ambil kesempatan ini untuk sampaikan hasrat ini khususnya dari sudut memanfaatkan teknologi terkini untuk pendekatan baharu dalam gerak kerja politik.”
Dalam kesempatan tersebut beliau juga merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Penerangan UMNO Malaysia yang diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said yang menggerakkan usaha turun padang.
“Sekali lagi saya ambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih untuk Penerangan UMNO Malaysia dan doakan mudah-mudahan Kangar bukan sahaja sekadar menjadi parlimen tumpuan bahkan menjadi Parlimen yang boleh dimenangkan semula, insya-Allah,” katanya lagi.
Terdahulu Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kangar telah diadakan pada Sabtu dengan penceramahnya ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob; dan kepimpinan Penerangan UMNO bahagian Kangar. – UMNO Online