Anak Muda Terima Baik Calon Perpaduan, Nurul Amal Harap Diterjemahkan Dalam Bentuk Undi

 

KOTA MELAKA, 1 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi melihat penerimaan anak muda di Sungai Bakap kepada calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan amat baik sekali.

Katanya kepada UMNO Online, walau bagaimanapun sokongan yang diberikan haruslah diterjemahkan dengan memberi undi kepada Dr Joohari Ariffin calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 6 Julai ini.

“Saya nampak penerimaan amat bagus mengenai calon Perpaduan ini dan saya harap ia boleh diterjemahkan dalam undi.

“Mungkin kerana faktor calon itu sendiri yang mempunyai ramai murid kerana bekas seorang guru di situ. Dan juga ramai yang mengenali beliau semestinya dan saya harapkan ini dapat menjadi sedikit tokok-tambah untuk memenangkan calon pada hari pengundian nanti,” ujarnya.

Nurul Amal ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka, di sini petang Ahad.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka Nur Farhana Ab Ghani.

Seterusnya, Nurul Amal bersetuju dengan saranan agar golongan muda tidak mengundi berdasarkan sentimen dan menasihati mereka jangan terikut-ikut budaya politik kebencian.

“Kepada orang muda di luar sana khususnya kita selaku orang muda jangan ikut politik kebencian, kita pilih perpaduan,” serunya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff daripada Perikatan Nasional (PN)/Pas pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dan pengundian awal pada 2 Julai.

Kerajaan Perpaduan melalui parti Pakatan Harapan (PH) menampilkan Dr Joohari bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara untuk merampas kembali kerusi itu.

Menyentuh mengenai ucapan perasmiannya, Nurul Amal turut mengulas mengenai permintaan daripada ahli Puteri agar dibolehkan mesyuarat secara dalam talian agar mereka dapat turut serta atas kekangan komitmen seperti sedang melanjutkan pelajaran atau bekerja di luar kawasan.

“Itu adalah permintaan-permintaan daripada bahagian-bahagian yang saya dapati disuarakan di peringkat Puteri-puteri bahagian.

“Dan juga dijadikan usul pada mesyuarat kali ini dan kita (Puteri pusat) menerima cadangan dari bawah dan akan lihat penerimaan daripada pihak tertinggi (parti) mengenai perkara ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.