Kewujudan Parti-parti Politik Menuntut UMNO Kerja Lebih Keras – Suraya

PADANG RENGAS, 1 Julai – Kewujudan parti-parti politik termasuk pertambahan parti berteraskan Melayu dalam negara menuntut kerja keras UMNO bagi meraih sokongan rakyat, kata Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob.

Beliau berkata ini kerana ia berbeza dengan situasi politik terdahulu yang menyaksikan hanya UMNO dan Pas sahaja mewakili orang Melayu.

“Rakyat punya banyak pilihan untuk parti Melayu, dulu kita sahaja dengan Pas namun hari ini parti Melayu sudah ada pelbagai.

“Disebabkan ada pilihan inilah kita perlu bekerja keras untuk memastikan undi Melayu itu kekal dengan kita,” katanya.

Suraya berkata demikian pada Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ke UMNO Bahagian Padang Rengas yang diadakan di Dewan Serbaguna JPS Kuala Kangsar, semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT) Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Arrif Abd Majid dan kepimpinan bahagian.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang turut berkata, kepimpinan di setiap bahagian memainkan peranan untuk menonjol, di samping memiliki karisma sebagai pemimpin di mata rakyat setempat.

Menurut Suraya ia penting bagi memastikan rakyat mengenali figura kepimpinan UMNO di kawasan mereka.

“Pemimpin politik harus dikenali, disukai, dipilih. Dulu letak siapa pun boleh asalkan parti UMNO… orang itu dipilih tetapi hari ini, mereka hendak tengok orang yang popular, kacak dan cantik.

“Jadi popularkan diri sendiri, nak popular macam mana? Kena bawa diri, manakala akar umbi pula mainkan peranan menyokong di platform media sosial dengan mempopularkan pemimpin kita,” ujar beliau.

Terdahulu Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia telah berlangsung dengan jaya di UMNO Bahagian Padang Rengas setelah menyaksikan ia diadakan di beberapa bahagian di Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Sabah, Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Program jelajah ini dicetuskan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa diaplikasi sebagai manfaat kepada ahli-ahli akar umbi agar dapat disampaikan informasi tepat di samping hala tuju UMNO untuk masa hadapan kepada semua anggota parti. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.