Guna Peluang PRK Ubah Nasib Rakyat Sungai Bakap – Mohd Zaidi

NIBONG TEBAL, 1 Julai – Rakyat Sungai Bakap disaran untuk menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut untuk mengubah nasib mereka dengan memilih calon Kerajaan Perpaduan.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said memaklumkan bahawa pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Besar telah menganjurkan program tukar minyak enjin motorsikal secara percuma pada Ahad.

“Alhamdulillah, hari ini di peringkat PDM Kampung Besar, UMNO Bahagian Permatang Pauh selaku bahagian angkat bersama dengan UMNO Negeri Perak telah mengadakan program mengganti minyak enjin motosikal di PDM Kampung Besar ini. Matlamat kita adalah untuk mengumpulkan 100 orang pemuda bermotosikal dan sama-sama menukar minyak enjin yang telah disediakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat baik. Bermula jam 2.30 petang sehingga jam 5.15 petang, masih ada lagi yang datang. Kehadiran orang kampung terutamanya anak muda untuk mengganti minyak motosikal ini juga begitu hebat sekali. Saya sangat berterima kasih kepada seluruh jentera dan masyarakat Kampung Besar yang memberi sokongan serta kerjasama sehingga program ini telah dilaksanakan dengan sempurna.

“Untuk makluman semua juga, ini bukanlah program yang pertama di PDM Kampung Besar. Sebagai bahagian angkat bersama negeri angkat iaitu UMNO Perak, kita telah bersama-sama menggerakkan pelbagai program sejak sebelum hari penamaan calon, sehingga ke saat ini. Masyarakat Kampung Besar menerima kehadiran kami selaku bahagian angkat dengan cukup baik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sepanjang berkampung di PDM Kampung Besar, beliau dapat melihat perubahan ketara masyarakat terutamanya dari segi penerimaan Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin pada 6 Julai nanti, masyarakat Kampung Besar akan menterjemahkan kehadiran kami ke sini dalam bentuk sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan, iaitu Dr Joohari Ariffin. Selepas beberapa hari berkampung di sini, saya nampak bahawa perubahan dalam masyarakat Kampung Besar ini agak ketara berbanding dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Sambutan yang diberikan oleh masyarakat pada kali ini jauh lebih baik. Mudah-mudahan peningkatan sokongan daripada PDM Kampung Besar ini akan dapat memenangkan calon Kerajaan Perpaduan pada 6 Julai nanti Insya-Allah,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya calon Kerajaan Perpaduan diberi mandat pada PRK ini, banyak perkara yang boleh dilaksanakan bagi menyambung kesinambungan pembangunan di Sungai Bakap.

“Seperti sedia maklum bahawa keputusan PRK ini tidak akan mengubah keadaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebaliknya, ini adalah peluang yang terbaik kepada masyarakat di Sungai Bakap ini untuk mengubah nasib mereka sendiri. Sebelum ini Sungai Bakap berada di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Kita tahu bahawa dengan 11 orang wakil rakyat PN di Negeri Pulau Pinang, mereka tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi, Allah telah mentakdirkan PRK ini berlaku di Sungai Bakap. Secara tidak langsung ini adalah satu hadiah istimewa kepada mereka. Andai calon Kerajaan Perpaduan ini menang, banyak perkara yang boleh beliau laksanakan terutamanya dari segi pembangunan masyarakat di Sungai Bakap ini.

“Jadi, masyarakat Sungai Bakap ini harus menggunakan kesempatan PRK ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sungai Bakap ini selari dengan pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Masyarakat Sungai Bakap ini sangat bersyukur kerana mendapat peluang yang kedua dalam PRK kali ini,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.