PRK Sungai Bakap: Peluang Kepada Pengundi Pilih Calon Kerajaan Perpaduan – Rizam

NIBONG TEBAL, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail mengingatkan para pengundi untuk memperbetulkan kesilapan mereka sebelum ini dengan memilih calon Kerajaan Perpaduan yang sudah semestinya sealiran dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar mengharapkan tempoh berkempen yang berbaki selama seminggu ini digunakan sebaiknya untuk meraih undi.

“Alhamdulillah, hari ini saya bersama rombongan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja merangkap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul dan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican. Tadi turut bersama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi.

“Saya lihat suasana di sini berada dalam keadaan yang baik. Saya tengok ‘mood’ pengundi dan juga jentera juga dalam keadaan baik. Saya harap perjalanan kempen ini tidak dicemari untuk perkara-perkara negatif seperti kempen fitnah yang berlebihan dan sebagainya.

“Kita dapat lihat ada kematangan pada waktu kita ini dari segi pengundi memilih calon. Calon Kerajaan Perpaduan adalah calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin. Saya tengok beliau merupakan calon berkaliber, mempunyai pendidikan yang baik, dan amat sesuai untuk pengundi di Sungai Bakap,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sekiranya calon Kerajaan Perpaduan diberi mandat oleh rakyat untuk menjaga kawasan Sungai Bakap, sudah semestinya kesinambungan pembangunan akan dapat dicapai.

“Saya rasa inilah masanya untuk mereka memperbetulkan kesilapan dengan memilih calon daripada parti pemerintah. Oleh kerana Pulau Pinang ini adalah negeri yang di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri juga berasal daripada sini, sudah pasti inilah peluang kepada rakyat dan pengundi untuk memilih Cikgu Joohari.

“Kemenangan beliau akan menjamin kebajikan, menjaga kesinambungan pembangunan dan juga kebajikan yang akan diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan kepada rakyat serta masyarakat lain.

“Kepada pengundi, jangan lupa keluar mengundi. Beritahu rakan-rakan bahawasanya inilah masa untuk kita perbaiki keadaan dan kembali kepada Kerajaan Perpaduan. Selamat mengundi kepada semua pengundi di DUN Sungai Bakap,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.