PRK Sg Bakap Medan Setiakawan Kerajaan Perpaduan, Pemuda UMNO/BN Komited Bantu Untuk Kemenangan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah satu medan kesetiakawanan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, walaupun sudah banyak teruji sebelum ini namun kali ini bukti baharu bahawa UMNO/BN sentiasa membantu dengan sedaya upaya supaya calon Kerajaan Perpaduan dapat menang di setiap PRK.

“Ini sudah terbukti pada pilihan raya sebelum-sebelum ini bahawa UMNO/BN tidak akan terlepas bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dan kali ini pada PRK Sungai Bakap.

“Pemuda UMNO telah siap siaga dan akan turun bila-bila masa untuk bantu jentera pilihan raya sehabisnya bagi memenangkan calon dari Kerajaan Perpaduan yang kali ini diwakili oleh PH.

“Pilihan raya yang diadakan ini bagi menentukan pemimpin yang dapat membantu kerajaan bagi menjamin kestabilan politik dan menjadi platform untuk melihat keadaan politik semasa terutamanya kestabilan di peringkat pusat dan negeri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun lalu hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan 6 Julai bagi hari pembuangan undi.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Sementara itu dalam perkembangan semasa, Fadil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mencadangkan agar kerajaan menilai dan merangka kembali penyasaran diesel.

“Memang terdapat keluhan mengenai kenaikan mendadak harga diesel dan turut memberi kesan kepada golongan B40 dan M40. Mereka risau terutamanya kenaikan harga barang mendadak naik.

“Pemuda UMNO sentiasa peka dan cakna terhadap golongan ini dan majoritinya golongan tersebut adalah berbangsa Melayu. Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula dan merangka kembali tentang penarikan subsidi diesel,” katanya lagi.

Untuk rekod, semasa pemerintahan kerajaan BN telah menaikkan harga diesel secara sedikit demi sedikit agar tidak memudaratkan pengguna terutamanya golongan B40 dan M40 yang sentiasa terkesan di atas kenaikan tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.