Mohd Rafi Tegaskan UMNO Bukan Parti Bermusim, Perjuangan Khidmat Bakti Sentiasa Dilaksana

LIBARAN, 26 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa UMNO bukanlah sebuah parti politik yang hanya berkhidmat untuk rakyat pada musim-musim tertentu.

Ini kerana katanya, UMNO sentiasa berdampingan dan memberikan bantuan kepada rakyat tanpa mengira masa dan dalam keadaan sama ada menang atau kalah dan senang atau susah.

“UMNO tetap bersama rakyat. Sewaktu kita menjadi kerajaan dan kemudian kalah dalam pilihan raya pun kita usahakan macam-macam perkara biarpun kita sendiri ditekan dan tiada kuasa. Ini kerana khidmat kita adalah demi rakyat, sudah sebati dalam perjuangan UMNO.

“Kita perlu jawab dan tolak macam-macam tohmahan pihak lawan. UMNO bukan datang dari parti tepi jalan. UMNO bukan datang ke Sabah kononnya parti dari Semenanjung tetapi UMNO masuk ke Sabah atas jemputan.

“Yang pimpin UMNO di negeri ini bukan orang luar, bukan orang dari Semenanjung tapi pemimpin Sabah, orang Sabah. Majlis Kerja Tertinggi telah berikan kuasa autonomi penuh untuk mentadbir UMNO Sabah, bukan orang luar,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian dalam ucapan kepada jentera Penerangan UMNO Libaran sempena Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang meneruskan siri gerak kerjanya di bahagian tersebut.


Terang Mohd Rafi, pihak lawan memberikan pelbagai tuduhan dan sentimen buruk berkaitan UMNO termasuk dakwaan kononnya UMNO bukan parti tempatan.

“Buktinya nyata, yang menyusun atur kita di Sabah ini adalah orang UMNO Sabah. Kita mahu mendapat kemenangan adalah atas kerjasama semua, bukan tugas pemimpin di atas berseorangan sebaliknya perpaduan semua anggota parti di sini.

“Kita adalah parti yang ada institusinya sangat kuat, dari atas hingga ke bawah, di peringkat akar umbi dan menyokong kepimpinan atas malah kekuatan sebenar UMNO adalah anggota parti di akar umbi.”

Kerana itu katanya, pelaksanaan gerak kerja yang jelas dari awal amat penting kepada anggota akar umbi bagi meraih sokongan rakyat.

“Kita perlu laksana gerak kerja dari awal, jangan tunggu pilihan raya, jangan tunggu bubar. Kita ada pengalaman-pengalaman sepanjang perjalanan UMNO hinggakan kita kalah dalam pilihan raya ke-14 lalu.

“Apa yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) sewaktu jadi kerajaan ada bukti nyata. Lebuhraya Pan Boneo di Sabah adalah jasa terbesar kerajaan BN kepada rakyat di sini.

“Jika bukan kerana UMNO/BN, Lebuhraya Pan Borneo yang menelan belanja lebih RM300 bilion untuk Sabah tidak mungkin dibina. Ini adalah jasa UMNO yang tidak mungkin dilupakan oleh rakyat Sabah ketika Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri ketika itu.”

Dalam hal ini beliau juga melahirkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan hari ini yang meneruskan pelbagai usaha tergendala sebelum ini.

“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri ke-10 yang telah mempercepatkan pembinaannya yang sebelum ini tergendala disebabkan pertukaran kerajaan pada 2018 dan 2021,” katanya lagi.

Turut bersama dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran dan ahli Parlimen tempatan.

Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia meneruskan gerak kerjanya di Sabah dengan didahului oleh Beluran pada hari sebelumnya, diikutan Libaran dan kemudian di Kinabatangan.

Terdahulu pada awal bulan ini, Jelajah Penerangan UMNO di negeri Sabah telah diadakan di Putatan dan Pensiangan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit