Segala Titik Bengik Perlu Dikuburkan Dan Suburkan Persamaan – Mustapha Nagoor
JEMPOL, 23 Jun – Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mustapha Nagoor berkata Jempol mempunyai potensi untuk mempertahankan semua kerusi UMNO di Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun satu DUN kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Jelas beliau, ini kerana UMNO Bahagian Jempol berpegang pada prinsip solidariti sebagai asas bagi mengekalkan kestabilan serta mengelakkan perpecahan dalam parti.
“Solidariti UMNO Jempol jangan berpecah sesama ahli dan apa saja titik bengik yang berlaku perlu dikuburkan dan suburkan persamaan. Itu adalah resepi utama untuk merampas kembali kawasan yang kalah dan pertahankan kawasan yang menang.
“Ahli UMNO harus perlu berkerja sebagai satu pasukan yang besar untuk terjemahkan kepada rakyat dan ahli UMNO bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) bersama Kerajaan Perpaduan adalah satu formula terbaik untuk rakyat khususnya di Jempol dan Negeri Sembilan.
“Kita akan terus berkerja dan dalam tempoh yang tinggal ini untuk menyakinkan serta memastikan rakyat dan pengundi serta penyokong UMNO/BN dan terus berkhidmat pada mereka dan UMNO Jempol akan teruskan buat yang terbaik bagi memastikan mengekalkan kerusi dan merampas kembali yang kalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri Jelajah Penerbangan UMNO bersama akar umbi Bahagian Jempol, petang semalam.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, kepimpinan UMNO bahagian dan ahli-ahli parti.
Mustapha yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan menjelaskan setelah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi penjelasan dalam siri Jelajah Penerangan UMNO, ramai ahli parti merasa yakin dan ia sebagai satu rahmat kelegaan bagi UMNO Bahagian Jempol.
“Ramai ahli akar umbi yang mahu hadir ke siri Jelajah Penerangan UMNO mahu mendengar penjelasan dan isu-isu semasa dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Apabila penjelasan telah diberikan dan melihat kelegaan kepada kepimpinan UMNO bahagian, bahawa apa yang dilontarkan, difitnah oleh musuh parti adalah tidak benar sama sekali.
“UMNO tidak pernah membelakangkan terutamanya soal agama Islam, orang Melayu, Raja-raja Melayu bahawa UMNO tidak pernah kompromi dalam isu-isu ini.
“Saya yakin dengan penjelasan ini bahawa ahli UMNO yang merasa kurang yakin akan kembali semula setelah mendengar penjelasan dari Dr Asyraf serta memperkuatkan kembali UMNO dan seterusnya orang Melayu yang menjadi penyokong tegar UMNO/BN selama ini,” jelas beliau.
Terdahulu, Jelajah Penerangan UMNO telah memberikan segala penerangan tentang isu-isu semasa terutamanya di Negeri Sembilan.
UMNO bahagian Tampin menjadi siri jelajah yang pertama pada 24 Mei lalu dan diikuti bahagian Rembau, Kuala Pilah dan kini di Jempol.
Untuk rekod, Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO ini telah berlangsung pada 14 Mei lalu dengan disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Ibu Pejabat UMNO. – UMNO Online