PRK Sungai Bakap: Reezal Merican Teruja Dengan Semangat Jentera Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican teruja dengan semangat yang dipamerkan oleh jentera Kerajaan Perpaduan untuk menempuhi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Julai ini.

Beliau yang juga ADUN Bertam memaklumkan bahawa telah turun ke pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Duri, Nibong Tebal pada Isnin dalam sesi ramah mesra untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya.

“Saya telah turun ke bilik gerakan PDM Sungai Duri, Nibong Tebal untuk bersama dengan Jentera Perpaduan dalam sesi ramah mesra bagi memperkukuhkan jentera pilihanraya.

“Saya teruja apabila melihat Jentera Perpaduan PDM Sungai Duri yang mempamerkan semangat kental, jiwa ingin menang dan bersedia untuk turun ke gelanggang bagi mengembalikan DUN Sungai Bakap terutamanya PDM Sungai Duri ke pangkuan Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, UMNO dan Perpaduan Kepala Batas akan memikul tanggungjawab mereka untuk menjaga PDM Sungai Duri ini dengan sepenuh hati agar kemenangan dapat berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya dapat lihat satu pasukan yang bersedia menggempur pihak lawan dan menawan hati rakyat PDM Sungai Duri bersungguh sungguh.

“Turut bersama dalam sesi ini Naib Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Amirudin Nasrudin; Naib Ketua Amanah Kawasan Nibong Tebal, Usman Osman Mohd Omar; Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Nordin Wahab; Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas, Abrar Saddiq; AJK PKR Cabang Nibong Tebal, Zuhisham Mohamad, ; Ketua UMNO Cawangan Sungai Duri, Abd. Hadi Mat Tahir; Pengerusi PDM Sungai Duri, Noorisyam Jamaludin; Jentera Perpaduan Kepala Batas dan Jentera PDM Sungai Duri.

“Saya bersama pasukan UMNO dan Perpaduan Kepala Batas telah diberi tanggungjawab menjaga PDM Sungai Duri, Nibong Tebal. Tanggungjawab ini akan kami pikul dengan sepenuh hati demi memastikan jentera perpaduan bergerak ke pelosok PDM Sungai Duri ini. Insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang diadakan pada 6 Julai depan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 5 Julai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.