UMNO Sabah Lebih Kenal Siapa Kawan Yang Dipercayai, Siapa Yang Tikam Belakang
KOTA KINABALU, 2 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam berkata UMNO Sabah lebih mengenali parti manakah di negeri itu yang lebih dipercayai untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
Kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia itu, pengalaman ketika berhadapan dengan PRN yang lalu banyak mengajar pimpinan UMNO negeri parti mana yang walaupun berpakat tetapi bertindak secara senyap menikam di belakang.
“UMNO Sabah lebih tahu yang mana kawan… yang mana lawan. UMNO Sabah yang lebih tahu kawan mana yang lebih dipercayai… kawan mana tidur sebantal mimpi lain-lain dan tikam kita dari belakang.
“Jadi kita letak kepercayaan kepada kepimpinan UMNO Sabah untuk memutuskan dengan siapa kita nak bekerjasama,” katanya kepada hampir 300 ahli akar umbi yang hadir.
Lokman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Putatan, pada Sabtu petang yang diadakan di Dewan Utama Bangunan UMNO Sabah.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Sabah Jeffery Nor Mohamed, barisan kepimpinan bahagian dan cawangan.
Terdahulu, Ahli MKT UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut hadir sebelum bertemu dengan beberapa Ketua UMNO Bahagian berhampiran di pejabat UMNO negeri mengambil kesempatan berucap di dalam majlis yang sama.
Tambah Lokman, UMNO Sabah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbanding negeri-negeri lain kerana UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk menentukan hala tuju parti di negeri itu dalam dinamika politik hari ini.
“Selepas kita kalah pada 2018, UMNO Sabah istimewa daripada negeri-negeri lain. UMNO negeri lain kena ikut pusat. UMNO Sabah tidak ada Badan Perhubungan UMNO negeri. Ia dipanggil UMNO Sabah.
“(Contoh di semenanjung) Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang… Tetapi kenapa UMNO Sabah dipanggil UMNO Sabah sebab UMNO Sabah ia ada kuasa autonomi.
“Jadi negeri Sabah ini, kalau calon Parlimen… betul pusat akan tentukan tetapi masa depan negeri Sabah, siapa jadi calon Dewan Undangan Negeri Sabah… semua akan ditentukan di bawah kuasa autonomi UMNO Sabah, bukan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah,” katanya.
Dalam ucapannya, Lokman juga menegaskan antara sebab utama mengapa UMNO/Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu disebabkan terdapat unsur sabotaj dari pihak dalaman. – UMNO Online