Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 Diadakan Esok Serentak Di Seluruh Negara
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 akan berlangsung pada esok (Sabtu) dan akan diraikan serentak di seluruh negara.
Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Sambutan yang sama turut akan berlangsung untuk negeri-negeri lain di pejabat Perhubungan UMNO Negeri masing-masing.
Diadakan seawal jam 6.30 petang, acara sambutan ini akan bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat dan seterusnya ucapan ringkas oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia kemudian disusuli dengan solat Isyak secara berjemaah dan jamuan makan malam sebelum bersurai.
Diharapkan dengan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 ini, ahli dan para pemimpin dapat menghayati kembali perjuangan di samping berusaha untuk memperteguhkan parti keramat Melayu ini.
Untuk rekod, UMNO telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 untuk menentang Malayan Union dan pada ketika itu ia dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.
UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menjadi kuasa terbesar untuk memimpin negara selama lebih 60 tahun. – UMNO Online