Titah Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Perlihatkan Keprihatinan Terhadap Rakyat
SEREMBAN, 7 Mei – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada pembukaan persidangan pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan semalam memperlihatkan keprihatinan baginda Tuanku kepada permasalahan rakyat di negeri tersebut.
Menurut beliau buktinya, pada isi pertama titah, Tuanku memberi penekanan kepada cabaran dan keperluan kerajaan untuk mengekalkan status ‘sifar miskin tegar’ yang telah dicapai pada penghujung tahun 2023 lalu.
“Tuanku turut berbangga dengan kejayaan negeri kita yang menerima pengiktirafan sebagai Negeri paling bahagia di Malaysia. Ini semua pengiktirafan kepada semua lapisan rakyat dan Tuanku meminta nilai-nilai baik dikekalkan pada setiap masa.
“Begitu juga prestasi ekonomi telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, iaitu 4.5 peratus setahun unjuran perkembangan ekonomi negeri. Kita juga harus berbangga dengan kedudukan Negeri Sembilan yang sedang berada pada kedudukan ketiga terbaik untuk produktiviti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau lagi, perkara ini mendorong kerajaan untuk memperkenalkan Skim Sejahtera Rakyat menerusi Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang turut disentuh oleh Tuanku ketika titah pembukaan tadi.
“Tuanku juga berharap bidang pendidikan di Negeri Sembilan terus diberi fokus. Tuanku menaruh harapan tinggi agar para pelajar dan anak-anak negeri dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan cemerlang, agar lebih ramai generasi baharu yang berpendidikan tinggi di negeri kita.
“Selain itu, penubuhan Majlis Perundingan TVET Negeri Sembilan juga disambut baik. Usaha ini dapat digerakkan bagi menangani isu persepsi rendah terhadap bidang TVET dalam masyarakat. Selaku Exco Kanan, saya menjunjung tinggi titah perintah Tuanku agar setiap ketua jabatan lebih kerap turun padang bagi menyantuni permasalahan rakyat di bawah.
“Inilah yang menjadi amalan bagi ketua-ketua jabatan di bawah portfolio Exco Kanan, dan ia akan terus dipraktikkan pada setiap masa.”
Tambah beliau begitu juga dengan titah Tuanku untuk mengenepikan agenda politik sempit, sebaliknya kekal bekerjasama atas nama perpaduan dan kebajikan rakya agar segala dasar dapat dirangka sebaik mungkin.
“Insya-Allah, patik menjunjung titah Tuanku agar kami berbahas dan berhujah secara rasional dan penuh prinsip intelektual agar manfaat bersama dapat dikecapi bagi menyelesaikan isu-isu semasa rakyat.
“Marilah kita gerak bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan keharmonian negeri, berbanding kepentingan peribadi dan politik kepartian,” ujarnya.- UMNO Online