Pindaan AUKU: Kerajaan Komited Lakukan Anjakan, Angkat Martabat Mahasiswa – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kerajaan terus komited untuk melakukan anjakan bagi mengangkat martabat mahasiswa dengan melakukan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Tegasnya, pindaan tersebut dilakukan agar mahasiswa yang berupaya untuk menguruskan kedewasaan dan kematangan dapat dilahirkan.

“Matlamat utama pindaan RUU ini adalah untuk membugar budaya organisasi dan menyegarkan gerakan pelajar. Ini merupakan satu usaha progresif kerajaan ini ke arah melahirkan mahasiswa yang berupaya menguruskan kedewasaan dan kematangan mereka.

“RUU ini juga merupakan harapan daripada mahasiswa sendiri yang ingin melihat perubahan dalam landskap pengurusan organisasi mahasiswa. Suka saya tegaskan bahawa pindaan ini bukan dibuat secara sepihak atau hanya merupakan idea daripada pihak kerajaan tanpa berbincang dengan kelompok mahasiswa kita.

“Ia melibatkan pimpinan mahasiswa melalui siri-siri libat urus yang telah dilaksanakan sejak tahun 2021 sehingga kini bersama dengan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merealisasikan harapan tersebut melalui pindaan ke atas AUKU ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, kerajaan sentiasa terbuka untuk terus menambah baik RUU tersebut dari semasa ke semasa dengan harapan agar pelajar yang lahir dari universiti mendapat manfaat sebaiknya.

“Mungkin ia bukan satu pindaan yang merupakan sempurna dan kita telah menjalani proses untuk pemerkasaan AUKU ini sudah berkali-kali dan kita mengharapkan kepada kali ini dengan mengambil kira pandangan mereka dan dibawa ke dewan ini bagi dibentangkan.

“Kerajaan tetap komited untuk melakukan anjakan bagi mengangkat martabat mahasiswa. Dalam hubungan ini, kerajaan sentiasa terbuka untuk terus menambahbaik AUKU dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, tindakan tatatertib ke atas pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor merupakan antara pindaan baharu dibuat ke atas Seksyen 16B AUKU 1971, yang menyaksikan pemindahan kuasa bagi pengendalian kes tatatertib membabitkan pelajar.

“Dalam konteks pengendalian kes tatatertib, semakan mendapati amalan sedia ada di semua universiti awam ialah ia tidak dikendalikan oleh Naib Canselor, sebaliknya kuasa berkenaan terletak pada Jawatankuasa Tatatertib itu sendiri.

“Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi bercadang memindahkan kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar supaya ia mencerminkan amalan semasa di universiti awam,” katanya lagi.

Terdahulu, RUU itu dibentang bagi bacaan kali kedua dan digulung oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, selepas dibahaskan oleh 22 Ahli Parlimen.

Bacaan kali pertama RUU itu dibentang pada 27 Nov 2023 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit