Kemaman Mampu Jadi Kesinambungan Kestabilan Politik Negara – Bibi Sharliza
KEMAMAN, 29 Nov – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan Puan Sri Bibi Sharliza Abdul Khalid berkata rakyat Kemaman mampu memberikan kesinambungan kestabilan politik negara dengan membuat perubahan wakil mereka di Parlimen agar seiring dengan Kerajaan Perpaduan.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, ini bersandarkan apa yang berlaku terhadap lima ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari kawasan Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, Jeli dan terbaharu Bukit Gantang yang berubah sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.
Bibi Sharliza berpandangan, rakyat Kemaman perlu mengambil peluang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), yang sudah pasti wakil daripada Kerajaan Perpaduan agar tindakan seperti lima ahli Parlimen pembangkang itu tidak akan berulang.
“Inilah kali pertama jika rakyat Kemaman mahu rasai, berada di bawah Kerajaan Perpaduan. Buat pertukaran kerana Kemaman ini pintu masuk di negeri Terengganu. Jika menang di Kemaman, ini satu-satunya Parlimen (Kerajaan Perpaduan) di Terengganu.
“Kita hendak kesinambungan politik yang stabil. Ini yang kita hendak. Bila stabil politik maka stabillah ekonomi. Ia sangat diperlukan oleh rakyat. Kita mesti merasakan Kerajaan Perpaduan yang wujud adalah untuk kebaikan generasi masa akan datang,” katanya dalam forum Bicara Titik Persamaan Dalam Memperkukuh Perpaduan di Felda Neram 1, Air Putih di sini malam tadi.
Turut menjadi panelis Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.
Forum tersebut dikendalikan oleh Ketua Penerangan Puteri UMNO Kuala Pilah Dinie Fadil.
Seterusnya Bibi Sharliza menyeru pengundi Kemaman membuat keputusan yang terbaik pada 2 Dis nanti dengan memilih BN.
“Buatlah satu keputusan yang terbaik untuk masa depan negeri Terengganu. Bagilah peluang sekali ini kepada BN (di Kemaman) untuk bersama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin banyak jasa yang diberikan BN kepada masyarakat Felda, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri Keenam) banyak orang Felda dapat. Pengerusi Felda (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) juga dari BN dan Kemaman,” katanya.
Begitu juga bagi Young Syefura atau lebih dikenali dengan Rara turut menyeru rakyat Kemaman memilih BN.
“Jadi pastikan pada 2 Dis nanti kita pecahkan rekod di Terengganu, menang satu. Saya yakin dengan satu suara ini akan didengar di Dewan Rakyat. Saya percaya beliau akan lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Bibi Sharliza dan Rara bersetuju bahawa Kerajaan Negeri Sembilan dan Pahang yang ditubuhkan bersama BN dan Pakatan Harapan merupakan contoh terbaik Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perlakuan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.
PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE