Kemaman Jaga Kemaman… Pilih Wakil Rakyat Tempatan, Selari Kerajaan Pusat – Ahmad Said

KEMAMAN, 20 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan para pengundi di Parlimen Kemaman untuk memilih wakil rakyat tempatan dan sealiran dengan kerajaan pusat.

Jelasnya, rakyat rugi apabila memilih wakil rakyat dari parti pembangkang kerana tidak ada sebarang peruntukan dapat disalurkan kepada parlimen yang dinaungi pembangkang.

“Kita melihat sebelum ini Terengganu kalah 8-0 dan tidak ada wakil Barisan Nasional (BN). Kesemuanya dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN). Sebenarnya rakyat rugi apabila lapan wakil rakyat ini tidak ada sebarang peruntukan dapat disalurkan kepada parlimen sebagai parti pembangkang.

“Semenjak beberapa tahun lalu kita lihat dan yang ruginya orang Kemaman. Mereka tetap mendapat habuan, elaun dan sebagainya. Sebab itulah kita ini bukan saja mewakili Kemaman tetapi Insya-Allah saya percaya akan sokongan orang Kemaman kepada kita kerana calon Pas kali ini adalah Menteri Besar yang juga berasal dari Besut dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang.

“Saya mendapat maklumat bahawa beliau sendiri tidak turun ke kawasan Ru Redang. Kalau satu kawasan kecil ini beliau tidak turun atas alasan beliau sudah kuat di situ, apatah lagi di Kemaman. Kita wakil rakyat yang membela nasib rakyat,” katanya semasa sesi wawancara di Facebook UMNO Online pada Ahad.

Menurutnya, sekiranya rakyat memilih calon PN sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Kemaman, sudah semestinya beliau tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas di kawasan tersebut.

“Tambahan pula apabila beliau seorang menteri besar dan dipilih pula sebagai Ahli Parlimen Kemaman, apa yang mereka akan dapat? Sudah tentunya beliau tidak akan dapat memberikan tumpuan kepada tugas di parlimen.

“Kita lihat hari ini di parlimen ini kalau membincangkan mengenai bajet, hampir dua bulan bersidang. Macam mana nak tinggalkan negeri? Jauh. Ini merugikan orang Kemaman. Cukuplah… apabila jadi menteri besar, fokus kepada kerja menteri besar.

“Sekarang ini sudah menghampiri musim banjir. Tidak tahulah… takut banjir pada tahun ini beliau cuti pula. Berapa kali dah menteri besar bercuti di luar negara semasa musim banjir dan yang bertungkus-lumusnya orang tempatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengakui bahawa rakyat di Terengganu berasa marah kerana sudah tidak lagi menerima bantuan daripada kerajaan negeri seperti yang telah diberikan oleh UMNO/BN selama 18 tahun.

“Sebab itu saya kata, kita kalah baru-baru ini kerana berlakunya rasuah. UMNO/BN memberi bantuan kepada rakyat Terengganu selama 18 tahun. Melalui ‘Dana Raya’, tiap-tiap tahun UMNO bagi.

“Pas menang, mereka tak bagi. Tiga tahun mereka tak bagi dana. Semua rakyat Terengganu marah. Tetapi apabila tiba pilihan raya, mereka (Pas) bagi duit. Dipanggil ‘Dana i-Fitri’. Di Kemaman, yang terakhir mereka berikan kepada mahasiswa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa rasuah dan pengagihan wang yang berlaku seperti musim pilihan raya lalu tidak boleh berlaku lagi pada kali ini.

“Pada 18 November 2022, mereka dah berarak di seluruh bandar Chukai ini kerana mereka yakin dah menang. Sebab itu kita katakan ini adalah rasuah dan pengagihan wang ini tidak boleh berlaku semasa pilihan raya.

“Tetapi selepas itu rakyat ditinggalkan. Tiada peluang pekerjaan. Sebab itu kita lihat bahawa naratifnya hari ini kita mahu orang Kemaman supaya jaga Kemaman. Bayangkan, takkan menteri besar nak datang setiap minggu ke Kemaman. Sebab dia jaga kawasan Ru Redang dan seluruh negeri,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.