Raja Mohamed Affandi Ada Aura Tersendiri, Mampu Galas Cabaran Di Kemaman – Nik Dir

KEMAMAN, 20 Nov – Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menyifatkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mempunyai kekuatannya tersendiri sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Katanya ini kerana, bekas Panglima Angkatan Tentera (ATM) itu mempunyai kredibiliti dan ketokohan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan ini.

“Saya fikir beliau adalah calon terbaik yang kita tonjolkan bagi mewakili parti PRK ini kerana beliau mempunyai pengalaman yang begitu luas bukan sahaja di dalam negeri bahkan luar negara.

“Saya tahu beliau adalah bekas panglima ATM sudah tentu pengalaman tersebut akan jadi satu kekuatan untuk menjaga rakyat Kemaman jika beliau diberi peluang dipilih sebagai ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Dalam pada Nik Dir turut berkata berdasarkan pemerhatiannya, beliau percaya dengan penerimaan rakyat Kemaman terhadap Raja Mohamed Affandi.

Menurut beliau, rata-rata pertemuannya bersama pengundi yang berbeza kelompok mesyarakat menyatakan sokongan terhadap calon diketengah BN.

“Selama seminggu berkampung di Kemaman, turun ke cawangan-cawangan berjumpa dengan banyak orang termasuk yang muda, penjawat awam, profesional dan juga lain-lain mengatakan calon ini boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dan saya tinjau juga orang Tionghoa di sini dan mereka kata boleh terima calon kita.

“Jadi saya harap rakyat di Kemaman khususnya pengundi berilah sokongan kepada calon Raja Mohamed Affandi bagi mewakili rakyat supaya dipilih menjadi Ahli Parlimen Kemaman pada PRK ini,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau turut berkata sekiranya BN menang pada PRK ini ianya adalah satu-satunya kemenangan dimiliki BN bagi kerusi Parlimen di keseluruhan empat negeri yang dikuasai Pas.

“Kita mengharapkan calon ini bukan hanya untuk Kemaman sahaja bahkan bagi negeri Terengganu dan mewakili tiga negeri yang lain iaitu Kelantan, Kedah, Perlis termasuk kerana tidak ada satupun ahli Parlimen daripada BN.

“Sebab itu saya rasa bersyukur kerana Raja Mohamed Affandi menerima pelawaan UMNO untuk menjadi calon BN bagi PRK ini,” katanya.

Untuk rekod, Raja Mohamad Affandi 66 tahun yang sudah berkhidmat 43 tahun dalam ATM berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Beliau pada PRK ini berdepan cabaran dua penjuru di antara calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.