Jadikan Kemaman Sebagai Jambatan Penghubung Terengganu Dan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan para pengundi di Parlimen Kemaman agar menjadikan kawasan tersebut sebagai jambatan penghubung Negeri Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan kerana tiada lagi kerusi Kerajaan Pusat dari Terengganu.

Ini kerana katanya, sekiranya Parlimen Kemaman berada dalam kerajaan pusat, pelbagai bantuan dan kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat di kawasan tersebut.

“Mengapa bekas Panglima Angkatan Tentera lebih baik daripada Menteri Besar (MB)? Kerana jika Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi menang, Kemaman akan berada dalam Kerajaan Pusat, kerajaan yang boleh membantu dan memberi lebih kebaikan.

“Jika MB menang, Kemaman tetap berada sebagai pembangkang. Rakyat ingin berada dalam kerajaan atau berada sebagai pembangkang? Itulah dua pilihan yang ada bagi pengundi Kemaman,” katanya menerusi satu kenyataan kepada UMNO Online, hari ini.

Menurutnya, empat ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) berubah memberikan sokongan kepada Perdana Menteri (PMX) kerana mereka mahukan bantuan kerajaan pusat kepada rakyat di kawasan mereka.

“Mengapa empat Ahli Parlimen PN berubah memberi sokongan kepada PMX? Kerana mereka inginkan bantuan kerajaan pusat kepada rakyat dalam kawasan mereka itu. Tidak cukup bantuan Kerajaan Negeri Pas Kelantan kepada Ahli Parlimen Jeli dan Ahli Parlimen Gua Musang serta dua ahli parlimen yang lain.

“Elok juga diingat perlu jadikan kawasan Kemaman ini sebagai jambatan penghubung negeri Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan kerana tiada lagi kerusi Kerajaan Pusat dari Terengganu. Inilah satu-satunya peluang terdekat yang ada.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Beri satu peluang kepada kami untuk memberikan perkhidmatan. Terima kasih,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diumum sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Pada Isnin BN mengumumkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon dalam PRK terbabit yang dibuat oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media di Menara Dato Onn.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal 28 November. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.