Garis Panduan Ucapan Perhimpunan Awam Dibincang Di Parlimen Hari Ini
KUALA LUMPUR, 24 Okt – Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah kerajaan mengeluarkan sebarang garis panduan berhubung perkara yang boleh dan tidak boleh diucapkan dalam sesuatu demonstrasi aman.
Perkara itu akan diajukan Wan Ahmad Fayhsal pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Selain itu, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengutarakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan, sama ada padang jenis Zeon Zoysia yang berkualiti tinggi akan digunakan di stadium lain selain Stadium Nasional Bukit Jalil.
Turut dijadualkan, Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sama ada bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 pada tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan.
Rodziah Ismail (PH-Ampang) pula membangkitkan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, mengenai sama ada terdapat dasar untuk membatalkan terus nombor telefon kitar semula yakni langkah tersebut akan diperkenalkan, demi menjamin keselamatan dan ketenteraman pengguna prabayar dan pascabayar.
Usai sesi itu, persidangan hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang memasuki minggu kedua, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 13 Okt lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt ini.
Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini. – BERNAMA