Krisis Beras: Bung Mokhtar Cadang Kerajaan Gazetkan Tanah Rizab Pertanian

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin memohon agar pihak kerajaan dan Kementerian Pertanian untuk menggazetkan tanah-tanah rizab pertanian bagi menangkis isu kekurangan makanan ruji di negara ini.

Jelasnya, kos sara hidup rakyat semakin meningkat tambahan pula selepas negara melalui episod penderitaan akibat COVID-19 beberapa tahun lalu.

“Kita berbicara soal kos sara hidup. Ianya meningkat bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia disebabkan pelbagai faktor contohnya seperti ekonomi, peperangan dan sebagainya. Namun, faktor utama yang mendorong ekonomi merudum ialah serangan COVID-19 ke seluruh dunia termasuklah negara kita.

“Justeru, untuk pemulihan memang sukar tetapi perlu ada mekasnime tertentu. Sebab itu, saya melihat balasan daripada Kementerian Pertanian berhubung dengan keperluan import dan eksport kita dalam agromakanan.

“Pada tahun 2020 makanan import kita lebih kurang RM55.43 juta manakala pada 2021 berlaku peningkatan RM63.59 bilion. Tahun 2022, RM75.4 bilion. Justeru, saya ingin memohon Menteri Pertanian untuk mengemukakan satu pelan jangka panjang ke arah pertanian negara,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, kerajaan perlulah berani ke hadapan demi meregulasikan semula industri pertanian kerana rakyat semakin bimbang dengan bekalan makanan negara.

“Kerajaan perlu berani ke hadapan untuk meregulasikan industri pertanian. Kita berikan keutamaan kepada dua bidang dahulu iaitu padi dan jagung sebab dua komoditi ini adalah penting bagi rakyat Malaysia.

“Rakyat di luar sana amat bimbang apabila menteri menyatakan bahawa sekiranya ada krisis berlaku, stok beras kita hanya bertahan untuk cuma lima bulan. Bagaimana sekiranya negara-negara pembekal tidak dapat untuk membekalkan beras kepada kita? Apa akan jadi kepada rakyat di negara ini?

“Saya juga kecewa kerana kementerian dan juga kerajaan tidak membuat mandatori agar mana-mana tanah pertanian khususnya untuk padi tidak boleh ditukarkan kepada pembangunan yang lain. Di Kedah contohnya, jelapang padi ditukarkan kepada industri yang pelbagai sehingga tutup,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau turut mencadangkan pihak kerajaan untuk melakukan pelaburan seperti negara-negara jiran bagi mewujudkan jelapang padi di negara pengeluar lain.

“Singapura tidak ada tanah tetapi mereka boleh mengeluarkan padi beras kerana mereka berkolaborasi dengan negara-negara yang mereka laburkan seperti Thailand, Vietnam, Kemboja… tetapi Malaysia tidak ada usaha ke arah itu.

“Saya memohon kerajaan dan Menteri Pertanian untuk menggazetkan beberapa ratus hektar tanah pertanian rizab yang belum digunapakai. Kalau tidak cukup, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya mengikuti langkah negara-negara jiran untuk membuka jelapang padi di negara-negara yang mengeluarkan padi.

“Buat kolaborasi. Mungkin 70 peratus beras itu dibawa balik, 30 peratus ditinggalkan di negara berkenaan. Kita tidak boleh lagi berhadapan dengan suasana sebegini sebab harga makanan ini meningkat dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit