Kerajaan Jamin Dasar Subsidi Bersasar Tidak Tekan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa dasar subsidi bersasar tidak akan menekan rakyat.

Katanya, sebalik dasar tersebut dilaksanakan kerana sebagai suatu keperluan mendesak ekoran jumlah subsidi ditanggung kerajaan kini sudah mencecah RM81 bilion.

“Dalam perkiraan dan pertimbangan kerajaan termasuk jemaah menteri, sementara subsidi bersasar itu dilihat sangat mendesak kerana subsidi kini sudah RM81 billion… dasar kita tidak akan menekankan.

“Seperti mana contoh terbaik Tabung Haji, dan kadar elektrik yang tidak akan dikenakan. Meskipun ada kekeliruan yang dibangkitkan, seolah-olah kadar elektrik itu akan dikenakan kepada rakyat biasa.

“Tidak benar sama sekali, kalau ada, mungkin ada sedikit pelanggaran daripada peraturan ditetapkan. Saya tidak fikir mungkin kerana keputusan dari jemaah menteri itu jelas…hanya untuk golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN – Ayer Hitam) yang membangkitkan isu tersebut ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan menyatakan kadar itu tidak hanya bergantung kepada peningkatan faedah di Amerika Syarikat namun turut melihat kepada asas lain.

“Dalam beberapa kali mesyuarat BNM, tidak menaikkan OPR, memikirkan soal inflasi rendah dan kesan kepada rakyat.

“Saya fikir dasar itu akan dikekalkan, melainkan kalau keadaan sangat mendesak. Kalau ikut perundangan, dari dulu memang bidang kuasa dan wawenang BNM,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit