Teruskan Perjuangan UMNO, Hentikan Pergeseran Dan Pertelingkahan
Hentikanlah pergeseran dan pertelingkahan.
UMNO BN nikah dengan PH nak masuk 9 bulan. Pernikahan ini tidak dirancang kerana masing-masing “Go-Solo” ketika pilihanraya umum ke-15.
UMNO-BN mengenali PH yang di dalamnya ada DAP dan di waktu yang sama UMNO-BN mengenali juga DAP sebagai musuh tradisi yang lebih dari 50 tahun. Tiada yang disembunyikan dengan apa yang diperjuangkan oleh DAP dan PKR selama ini namun jodoh UMNO-BN dengan PH kuat dan akhirnya nikah juga.
Sepanjang perkahwinan yang diaturkan sememangnya akan ada tergigit lidah tetapi di akhirnya setiap permasalahan boleh dirungkai jika masing-masing boleh “give and take”. Sikap dan sifat yang selama ini menjadi perangai punca kita tidak berkenan akan boleh diperbetulkan.
Pernikahan atas dasar cinta pun boleh berantakan jika cinta sebelum nikah itu hanya kepuraan. Buktinya UMNO-BN ditinggalkan begitu sahaja apabila PAS mula menggila dengan PPBM.
Rupanya dalam diam mereka berskandal sedangkan mereka ketika itu bersama UMNO-BN.
Lumrah, Pas dengan skandal. Itu hubungan sesama bangsa dan agama. Adakah sama apabila UMNO-BN bernikah dengan bangsa dan agama lain? Tanyalah sesiapa yang bernikah dengan aturan dari keluarga dan dengan pasangan berlainan bangsa dan agama. Ketika bercinta tidak semua kita tahu perangai dan pendirian pasangan kita. Yang berjanji nak berhenti rokok selepas nikah pun ramai yang tidak penuhi.
Berilah sedikit masa kepada pasangan masing-masing. Ada yang “free hair” pun ambil masa bertahun untuk mereka berhijab. Yang lelaki pula bukan senang nak jadikan mereka sebagai imam yang sempurna.
Kepada sahabat-sahabat saya, Perlembagaan negara yang menyebut tentang hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera amat jelas. Menangislah keluar air mata darah sekali pun tiada siapa boleh merubah intipati hak dan keistimewaan ini. Suami/isteri perlu berusaha bersungguh-sungguh mencari titik persamaan jika tidak ingin mengakhiri pernikahan ini dengan bercerai. Allah letak ‘cerai’ sebagai jalan terakhir jika tidak mampu lagi untuk bersama.
Lebih baik bercerai dengan rasmi daripada berskandal ketika bercinta. Dan perlu diingat bahawa penceraian adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Allah swt.
Jadi sebelum ambil keputusan drastik, harungilah hidup berumahtangga dengan PH dahulu. Tiada cacatnya UMNO-BN apabila nikah yang diaturkan ini diteruskan dan jika masih tidak bersesuaian maka buatlah keputusan demi kepentingan UMNO-BN di masa hadapan.
Ingat, ramai yang gila bila pernikahan ini berlangsung. UMNO-BN adalah pengantin yang menjadi rebutan. Bayangkan PAS jadi gila talaq bila asyik menyerang UMNO-BN bukan kerana benci tetapi kerana menyesal meninggalkan UMNO.
Ingat, PH tidak pernah memberi syarat supaya UMNO hentikan perjuangan terhadap bangsa Melayu dan bumiputra.
Sekadar pandangan sebagai seorang sahabat.
Oleh: Azmy Awang