PM Jangan Jadi Alat Dap, Kembalikan Hak Melayu Dan Bumiputera


KUALA LUMPUR, 8 Dis – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa untuk tidak tunduk dengan pihak lain khususnya Dap yang dilihat lebih dominan dalam pentadbiran.

Koordinator Himpunan Daulat 812, Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata, kerajaan perlu mengembalikan hak golongan Melayu Bumiputera, hak golongan petani, nelayan dan juga hak pelajar-pelajar.

“Jangan pinggirkan orang Melayu dan Islam kerana kita akan bangkit menuntut hak kita. Jangan batalkan projek-projek untuk orang Melayu termasuklah projek-projek pembangunan luar bandar.”

“Tun Mahathir jangan takut, kita bukan nak gulingkan kerajaan tapi kalau kerajaan tak pelihara hak Melayu dan Bumiputera maka kita akan bangkit tuntut hak kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dalam ucapan di himpunan terbabit yang berlangsung di Dataran Merdeka.

Tegasnya, pemuda-pemuda harapan bangsa perlu bangkit agar jangan tertipu lagi.

“Kita berhimpun kerana kemerdekaan kita dah dicabul melalui ICERD. Mereka hendak kita menerima konvensyen ini dan mengenakan syarat-syarat bagaimana kita nak hidup di negara kita sendiri.

“Mereka nak menguasai hala tuju dan nak memerintah negara kita sedangkan mana mereka tahu perkara melibatkan Melayu dan Bumiputera, Perkara 153, hak-hak keistimewaan kita dan Perlembagaan. Kita mesti bangun menentukan masa depan kita sendiri atau kita adakan himpunan yang lebih besar dari hari ini.”

Dalam masa yang sama beliau menggesa Tun Dr Mahathir untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wytha Moorthy yang menimbulkan usul berkaitan ICERD. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.