Jangan Gusar Dan Khuatir Himpunan Daulat 812 Bukan Perhimpunan Haram, Elakkan Unsur Provokasi – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Peserta dan mereka yang hadir pada Himpunan Daulat 812 tidak perlu gusar dan khuatir kerana himpunan aman berkenaan bukanlah perhimpunan haram lantaran telah mendapat kebenaran pihak berkuasa keselamatan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata apa yang penting elakkan daripada melakukan sebarang provokasi serta memainkan sentimen kebencian kaum mahupun agama kerana mesej yang hendak dibawa adalah penting bahawa Malaysia ada kedaulatannya yang tersendiri.

Menurut beliau rakyat tidak mahu unsur-unsur yang cuba dibawa oleh pihak kerajaan hari ini seperti ratifikasi ICERD yang diyakini akan merobek asas-asas mahu pun tiang-tiang yang telah menjadi pasak penting dalam usaha  memastikan kekuatan negara yang berbilang agama dan kaum terus aman, terus stabil dan harmoni.

“Kepada seluruh rakyat yang cintakan keamanan negara, cintakan keharmonian dan kestabilan negara yang unik ini, kita turunlah beramai-ramai menzahirkan kecintaan kita ini dengan memakai pakaian putih. Jangan ada unsur-unsur provokasi, jangan kita mainkan sentimen kebencian kepada mana-mana pihak sekalipun serta jangan sesekali memainkan sentimen kebencian kaum mahu pun agama.

“Pemuda UMNO dan Pemuda Pas khususnya Jabatan Amal, kita telah menyediakan 5,000 petugas keselamatan yang akan mengenal pasti siapa yang akan melakukan provokasi, siapa memainkan sentimen kaum, sentimen agama, bawa senjata kita akan tangkap mereka dan bawa kepada pihak berkuasa.

“Malah mana-mana yang kita nampak juga tolong beritahu pihak berkuasa  kerana esok adalah lambang percintaan kita kepada negara. Kita tidak mahu menghalalkan sebarang bentuk usaha-usaha yang bakal merobek dan meruntuhkan apa yang telah kita bina selama ini. Takkan baru tujuh bulan jadi kerajaan kita sudah cuba untuk membawa ideologi kita atau memaksakan ideologi kita kepada rakyat,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada program Diskusi U3.0 yang mengupas tajuk Di Ambang Himpunan 812. Program berkenaan dihoskan Adnan Seman, malam tadi.

Asyraf Wajdi seterusnya menegaskan Malaysia adalah negara yang mempunyai acuan tersendiri dalam usaha memastikan keharmonian ini akan terus kekal.

“Sebab itulah acuan ini kita tidak mahu dirobek oleh mereka yang hari ini seolah-olah angkuh, sombong. Apabila mengecapi kekuasaan mereka mahu membawa acuan luar  kepada suasana yang ada. Jadi itu penting bukan sahaja kita nak membantah ICERD tetapi yang lebih besar lagi adalah untuk mempertahakan pasak-pasak atau pun asas-asas yang telah membina negara kita yang tercinta.

“Himpunan ini bukan sahaja manifestasi kesyukuran kita bahawa setakat hari ini kerajaan tidak akan meratifikasikannya, tetapi kena ingat kerajaan ini sudah pun banyak kali menipu rakyat dan yang paling penting sekali kita mahu menyatakan dan menyampaikan mesej yang jelas bahawa rakyat tidak rela negara dikorbankan keamanan dan kestabilan hanya kerana kerakusan mahu memenuhi kepentingan pihak tertentu.

“Kita mahu supaya kita pertahankan Perlembagaan, kita pertahankan Agama Islam, pertahankan kedudukan Melayu dan Bumiputera, kita pertahankan institusi Raja-Raja Melayu, pertahankan bahasa kebangsaan  dan paling penting kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Tidak perlu menggunakan acuan daripada luar dan cukuplah dengan acuan kita yang terpateri padu di dalam Perlembagaan.  Ini antara perkara yang kita nak zahirkan,” tambahnya.

Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang telah memberikan kerjasama berhubung himpunan berkenaan dan mereka tentunya akan turut menjaga keamanan sepanjang himpunan berkenaan.

“Kita pun mahu ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang hakikatnya esok pun akan turun untuk membantu jaga keamanan dan sebab itulah tadi kita Pemuda UMNO ada Briged Kesatria Muda dengan jabatan Amal Pas akan bekerjasama  dengan pihak berkuasa untuk memastikan insya-Allah kita yakin rakyat Malaysia tidak sampai ke tahap merusuh dan sebagainya.

“Dan bagi yang tidak berkesempatan untuk hadir esok di Kuala Lumpur, pakai pakaian putih. Putihkan Malaysia sebab apa…putih adalah perlambangan keamanan…putih lambang keharmonian,” tegasnya lagi – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.