Proses Mengundi DUN Bertam Berjalan Lancar, Reezal Merican Seru Rakyat Keluar Mengundi

KEPALA BATAS, 12 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata proses pengundian di kawasan itu berjalan dalam keadaan aman, lancar serta tenang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas mengharapkan pengundi keluar beramai-ramai kerana mahukan peratusan mengundi yang tinggi.

“Saya mengharapkan dan mengingatkan kepada semua pengundi keluar beramai-ramai kerana mahukan peratusan yang tinggi. Dalam pilihan raya ini adat ada kalah dan menang tapi jika seorang itu diberikan mandat dan lebih bermakna diwakili jumlah peratusan yang tinggi dan amat malang jika peratusan itu rendah dan kemenangan itu dianggap mewakili semua.

“Saya anggap demokrasi dalam memberi ruang dan peluang kepada semua yang layak mengundi, turun beramai-ramai dan tunaikan tanggungjawab. Pasti calon yang anda suka dipilih dan diangkat sebagai wakil rakyat dan akhirnya dapat menunaikan amanah sebagaimana yang dimandatkan oleh rakyat.

“Turun ramai-ramai dan harapkan peratusan yang keluar mengundi di DUN Bertam sama dengan peratusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. DUN ini sememangnya sejarah dari dahulu lagi dan tidak dianggap sebagai ‘hot spot’ atau ‘hot zone’ kerana penduduk di sini sederhana,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Reezal Merican, beliau akan menziarahi warga-warga emas agar mereka dapat pergi mengundi.

“Saya akan pergi 10 tempat mengundi dan di kalangan warga emas yang hendak keluar mengundi dan akan menziarahi mereka,” katanya lagi.

Proses pengundian berjalan lancar dengan menyaksikan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mengawasi pembuangan undi.

Semua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan dibuka pada pukul 7.30 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.