Bung Moktar ingatkan pengundi muda jangan tersalah pilih dalam PRN kali ini
HULU LANGAT, 11 Ogos – Berbaki beberepa jam lagi hari pengundian PRN di enam buah negeri di Semenanjung, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi muda yang bakal melaksanakan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini tidak tersalah pilih untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.
Katanya, jika rakyat khususnya kalangan generasi muda mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mahu berkhidmat demi kebajikan mereka maka pilihlah parti yang benar-benar mampu memperjuangankan masa depan.
“Kalau kita nak kerajaan stabil maka pilihlah parti yang benar-benar nak berkhidmat untuk rakyat. PRN ini kali ini penting bagi menentukan Kerajaan negeri yang perlu seiring dengan Kerajaan pusat agar segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika berucap di majlis ceramah perdana di DUN Dusun Tua malam kelmarin.
Hadir sama calon BN DUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said dan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan.
Kerusi DUN Dusun Tua menyaksikan perlawanan tiga penjuru iaitu Datuk Johan Abd. Aziz daripada BN, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Azhar Hambali.
Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pelaksanaan undi 18 turut memberikan ruang kepada anak muda bagi menentukan masa depan negara.
Justeru, katanya pengundi muda hendaklah menggunakan amanah dan kepercayaan tersebut sebaik mungkin, mengundi tidak mengikut emosi dan perasaan, tetapi sebaliknya menggunakan rasional dan ilmu kefahaman dengan memilih sebuah kerajaan yang kuat serta stabil.
Sementara itu ketika menghadiri dan berucap di Majlis Himpunan Anak Muda di DUN Batang Kali Bung turut mengingatkan anak muda agar memilih gabungan yang terdiri daripada parti dominan bagi menubuhkan sebuah Kerajaan yang stabil.
Katanya, selari dengan jajaran politik baharu tidak ada sebuah parti yang dominan untuk membentuk negara, justeru pembentukan kerajaan perpaduan merupakan jalan terbaik untuk menjaga kestabilan politik agar proses pembangunan untuk kepentingan dan kesejehteraan rakyat dapat diteruskan.
“Saya ingin mengingatkan para pengundi (khususnya pengundi muda) supaya tidak mengulangi kesilapan pada 2018 (pada PRU yang lepas) iaitu rakyat memilih kerajaan yang tiada satu pun parti dominan dan ini sangat bahaya pada kestabilan kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Bung menyeru golongan anak muda membuat penilaian yang bijaksana, tepat dan sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi yang dimilikinya.
“PRN kali ini amat penting untuk kita memilih kerajaan negeri yang stabil, anak-anak muda perlu membuat keputusan dengan bijaksana untuk memastikan masa depan anda terjamin kerana anda yang akan menentukan masa depan masing-masing,” katanya.
Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meminta anak-anak muda agar menolak politik perkauman yang boleh menjejaskan tahap keharmonian rakyat di negara ini.
Dalam hal ini, beliau turut menolak tindakan segelintir pihak yang lebih suka menyerang dan bersikap negatif.
“Konsep menyerang dan bersifat negatif ini tidak boleh lagi digunapakai. Parti harus bergerak seiring dengan landskap politik hari ini iaitu memberikan penjelasan dan harapan untuk masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online