Belia ‘Generasi Penentu’ Bentuk K’jaan Negeri Sealiran Dengan Persekutuan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata golongan belia yang beliau digelar ‘generasi penentu’, berperanan besar menentukan kejayaan membentuk kerajaan negeri yang sealiran dengan Kerajaan Perpaduan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Beliau berkata sokongan golongan belia termasuk generasi kedua FELCRA Berhad terhadap Kerajaan Perpaduan, akan membantu kerajaan Persekutuan merealisasikan aspirasi memajukan setiap negeri.

“Peranan generasi kedua FELCRA…mesti komited untuk bersama mendukung aspirasi dan cita-cita Kerajaan Perpaduan, bagi memajukan seluruh negeri tanpa ada terpinggir apabila landskap politik sudah berubah (menyokong Kerajaan Perpaduan) dan kita dapat bentangkan ekonomi MADANI yang begitu komprehensif untuk rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Generasi Kedua FELCRA Berhad, di ibu negara malam tadi.

Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa, dengan dukungan serta semangat gelombang sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan di enam negeri yang menghadapi PRN ketika ini, akan memperlihatkan sebuah perubahan yang lebih baik.

PRN Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu diadakan serentak dengan hari pengundian berlangsung Sabtu ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata institusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perlu terus diperkasa seiring dengan kehendak pasaran semasa, sekali gus membuka peluang generasi baharu FELCRA untuk menyertainya.

“Saya meminta FELCRA dan KKDW terus menambah baik institusi TVET, khusus untuk anak-anak FELCRA seperti ditukarkan silibus, sukatan mata pelajaran dan modul, agar kita dapat lahirkan generasi FELCRA sebagai tenaga mahir dan profesional, yang sesuai dengan kehendak pasaran.

“Selepas daripada TVET, KKDW melalui Mara akan menyediakan Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Poly-Tech Malaysia, bagi generasi FELCRA melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi, dan memperolehi gaji lebih tinggi berbanding yang tidak menyertai TVET,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Datuk Mat Roni Zakaria. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.