Pilih Parti Yang Berwibawa, Mampu Laksana Tadbir Urus Negeri – Jalaluddin

JELEBU, 11 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini memilih parti yang berkemampuan dan berwibawa dalam melaksana tadbir urus negeri.

Jelas beliau, ini kerana ia penting ke arah memacu pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Gunakan kesempatan dan peluang ini untuk memastikan kerajaan Negeri Sembilan akan terus diurus tadbir oleh kerajaan yang berkemampuan dan berwibawa demi kestabilan dan kemakmuran rakyat.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua rakan-rakan pengundi pada semua lapisan bangsa, pelbagai peringkat umur apatah lagi orang muda bersama jalankan tanggungjawab.

“Kita keluar seawal pagi untuk menjalankan tugas bagi memilih kerajaan yang bakal diberikan mandat dan amanah untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Jalaluddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang dalam pada itu berkata beliau optimis dengan sokongan rakyat pada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), menurutnya ini berdasarkan pemerhatian pada hari-hari terakhir berkempen.

Menurutnya lagi esok bakal mencatatkan sejarah tersendiri buat Negeri Sembilan yang menyaksikan kerjasama BN-PH buat pertama kali dalam pembentukan kerajaan negeri.

“Seperti biasa momentum sokongan rakyat terutama bagi orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli di Negeri Sembilan semakin hari semakin baik.

“Saya lihat dalam tempoh dua hari akhir ini jentera lebih bersemangat yang saya sangat hargai adalah sokongan daripada orang ramai juga menampakkan pendekatan sangat luar biasa.

“Malah saya menjangkakan keputusan pada 12 Ogos adalah luar biasa, cemerlang dan insya-Allah akan memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu pada 6 Ogos lalu, BN-PH Negeri Sembilan mengumumkan dokumen aku janji dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut diberi mandat oleh rakyat negeri ini.

Jalaluddin menerusi respon berkenaan Aspirasi Perpaduan berkata ia sebagai simbolik komitmen yang diterjemahkan BN-PH kepada rakyat negeri ini.

Jelas beliau, ini kerana ia merangkumi pembelaan pembangunan kepada semua lapisan masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang yang semestinya memberikan impak terhadap kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.