Zaifulbahri Pertaruh Pengalaman Tiga Penggal Di Chembong

REMBAU, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris mempertaruhkan pengalaman perkhidmatannya selama tiga penggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelas beliau, pelbagai pencapaian telah dilaksana di kawasan ini meliputi infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

“Dari segi pembangunan kawasan ini boleh dikatakan lengkap dengan prasarana, kelengkapan, keperluan asas.

“Dahulu tiada hospital sekarang sudah ada, di sini terbinanya juga universiti, sekolah berasrama penuh, institusi kemahiran.

“Namun apa yang lebih perlu tekankan adalah tentang merancakkan lagi aktiviti rantaian ekonomi penduduk, di samping untuk golongan muda iaitu mempunyai rumah sendiri,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berkenaan PRN ini, Zaifulbahri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata sepanjang berkempen, beliau melihat sokongan rakyat pada kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada tahap terbaik.

Katanya ini kerana mereka memahami kepentingan memiliki kerajaan yang stabil adalah suatu keperluan bagi memastikan tadbir urus negeri dilakukan secara terbaik.

“Pada hemat saya melalui pertemuan bersama masyarakat sudah benar-benar faham

“Apa yang paling penting adalah kita perlu menubuhkan kerajaan mantap agar semua perkara dapat dilakukan dengan baik termasuk ekonomi, pembangunan.

“Jadi sekarang ini di peringkat Pusat, kerajaan yang ada adalah Kerajaan Perpaduan. Negeri Sembilan juga perlu mendapat kerajaan yang selari dengan Pusat.

“Mereka (rakyat) rata-ratanya menyatakan hasrat supaya kerajaan yang sama dapat ditubuhkan iaitu Perpaduan,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Chembong ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Zaifulbahri dan Bakly Baba mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.