Armi Harap BN Jadi Pilihan Untuk DUN Bandar…Jangan Terjebak Manipulasi Saat Akhir

KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Armi Irzan Mohd berharap tekad yang ingin dibawa di kawasan berkenaan akan terus menjadi pilihan kepada para pengundi dan bukannya membuat pilihan berasaskan sentimen manipulasi menjelang saat-saat akhir.

Menurut beliau apatah lagi dengan Akujanji BN Terengganu yang merupakan bantuan terus kepada seluruh rakyat seharusnya menjadi pilihan kepada pengundi DUN Bandar untuk memberikan kepercayaan sekaligus membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri Terengganu.

“Alhamdulillah… hasil ‘walkabout’ di sekitar bandar dan premis-premis perniagaan hari ini menampakkan satu perkembangan yang amat menarik. Masing-masing telah mengenali siapa calon BN dan menyatakan sokongan yang baik dalam usaha menjayakan apa yang kita telah nyatakan menerusi 10 tekad dan Akujanji BN Terengganu.

“Namun sepertimana sebelum-sebelum ini manipulasi dan dakwaaan yang tidak berasas akan keluar pada saat-saat akhir dan hari ini akaun media sosial saya juga turut menjadi mangsa dan inilah yang kita katakan pengundi perlu berwaspada dengan manipulasi mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau seterusnya menambah akan terus berkempen dan akan berjumpa seramai mungkin pengundi dan terus berkempen secara sihat serta matang.

“Apa yang ingin diutarakan kepada pengundi dan masyarakat telah pun diperjelaskan berasaskan kepada apa yang kita ingin bawa dan ingin laksanakan di DUN Bandar ini.

“Kepada seluruh pengundi… laksanakan amanah dengan sebaiknya dan jayakan demokrasi untuk memastikan apa yang saya ingin bawa dapat dilaksanakan dengan  jayanya apabila berjaya membentuk kerajaan nanti, insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.