Jangan Layan Propaganda, Psikologi Dibawa PN – Jalaluddin

JELEBU, 10 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap rakyat untuk tidak terpedaya dengan propaganda dilakukan Perikatan Nasional (PN) berkaitan sokongan diraih mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Katanya, ini kerana beliau percaya sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih kukuh berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru sahaja melepasi lapan bulan.

“Berkaitan dengan sokongan ahli UMNO pada PN ini adalah propaganda yang dimainkan oleh mereka kerana perubahan atau trend sokongan dari PRU14 ke PRU15 membuktikan bahawa sokongan Melayu kepada UMNO/BN masih kekal tidak berubah.

“Kalau tempoh itu agak lama mungkin akan ada perubahan tapi tempoh itu baru lapan bulan dan apabila saya turun ke bawah, setiap DUN dan kawasan sokongan orang Melayu dan pemahaman mereka terhadap BN-PH semakin hari semakin baik.

“Ini meyakinkan saya bahawa pada 12 Ogos ini insya-Allah bahawa sokongan BN-PH akan tetap kekal seperti PRU kerana mereka faham dengan kerjasama BN-PH.

On paper kita akan dapat 36-0 tetapi berdasarkan penelitian dan kajian serta laporan yang kita terima di peringkat akar umbi kita akan lihat keputusan yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas santai minum pagi bersama rakyat di Balairaya Kampung Chennah, bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga calon DUN Pertang turut menjawab berkenaan spekulasi calon Menteri Besar.

Menurutnya, keutamaan pada masa kini adalah mendapatkan kemenangan maksimum pada PRN ini, selepas itu kepimpinan tertinggi parti akan membuat keputusan berkenaan pelantikan tersebut.

“Kita ada 36 calon, dan 31 calon lelaki daripada itu 18 calon Melayu yang layak untuk diangkat sebagai Menteri Besar jadi sesiapa pun boleh

“Kita sudah buat keputusan bahawa BN-PH akan memastikan sebaik mungkin iaitu semua DUN ditandingi selepas itu kepimpinan tertinggi kedua-dua parti akan memutuskan siapa yang akan menjadi Menteri Besar, saya fikir ianya tidak menjadi masalah,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.