Perkasa Pelancongan Di Hulu Besut, Pilihlah Parti Mampu Tadbir Negeri – Nawi

BESUT, 10 –  Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad  bertekad untuk memajukan lagi industri pelancongan di kawasan berkenaan yang hari ini terkenal dengan beberapa kawasan rekreasi dan perkelahan.

Menurut beliau yang merupakan penyandang di DUN tersebut, perkara itu jika dimajukan sepenuhnya akan memberi pulangan yang cukup baik kepada masyarakat setempat khususnya golongan belia yang menceburkan diri dalam industri tersebut.

“Kita cuba menggerakkan aktiviti-aktiviti ekonomi melalui kedatangan pengunjung luar ke Hulu Besut… pelancongan maksudnya. Kita ingin buka lagi satu Lata Pak Sitong… sekarang di Hulu Besut ada Lata Tembakah, La Hotspring dan Lata Air Drew. Lata Air Drew jika dibuka secara komersil para belia khususnya termasuklah masyarakat di sini dapat mengambil peluang untuk menjana pulangan dari sudut ekonomi.

“Lata Air Drew pada hari Sabtu sahaja pengunjung yang mengunjungi kawasan ini hampr 1,000 pengunjung dan jika akhir bulan sehingga 2,000 pengunjung pada hari Sabtu sahaja. Dan oleh kerana itu sektor pelancongan ini jika diperkasakan akan memberi pulangan yang cukup baik kepada masyarakat setempat di sini dan saya nampak ini antara peluang yang amat baik,” katanya kepada UMNO-Online.

Dalam pada itu beliau seterusnya berazam untuk menyambung semula perancangan dan pelaksanaan yang telah dilakukan ketika negeri berkenaan diteraju oleh BN dan terbantut ketika Pas mengambil alih teraju kepimpinan negeri tersebut.

“Jika mandat diberikan kepada kita insya-Allah, saya berazam untuk meneruskan projek pembinaan jalan dari Keruak ke Kuala Krai, Kelantan. Sebelum ini ketika Terengganu diterajui BN telah membina laluan berkenaan sejauh 10 KM, cuma tinggal lagi 30 KM. Maknanya jika siap sepenuhnya boleh mempercepatkan perjalanan ke Kuala Krai sekaligus dapat menjimatkan masa untuk ke Kuala Lumpur dan lain-lain.

“Justeru pengundi perlu bijak untuk satu tempoh lima tahun akan datang. Kita perlu pilih sebuah kerajaan yang selari dengan kerajaan pusat. Apabila selari sudah tentu kerajaan lima tahun akan datang ini sebuah kerajaan yang mampu menjaga kebajikan malah jauh lebih daripada itu.

“Jadi sama-samalah buat keputusan yang terbaik dengan memilih BN khususnya di Hulu Besut ini dan sama-sama menilai untuk kepentingan dan faedah bersama. Jika kita dah pasti lima tahun yang lalu kita rugi, Sabtu ini kita perlu buat keputusan untuk kepentingan bersama dengan menukar kerajaan yang kita anggap rugi dan lihat untuk tempoh lima tahun akan datang pula,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.