Angkat Seri Menanti Sebagai Hub Pelancongan Adat Perpatih – Sufian
KUALA PILAH, 9 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi berazam mahu memanfaatkan Seri Menanti yang sinonim sebagai Bandar Diraja dan Adat Perpatih untuk diangkat sebagai hub pelancongan.
Katanya, pelbagai pendekatan akan dilakukan beliau termasuk bekerjasama dengan Muzium Diraja Istana Lama untuk memastikan budaya Adat Perpatih ini terus menjadi sumber warisan dan kebudayaan.
“Saya mahu menjadikan kawasan ini sebagai hub pelancongan Perpatih. Seri Menanti ini dikenali sebagai Bandar Diraja, ada Muzium Diraja Istana Lama dan kalau berjaya kita hendak bekerjasama dengan muzium pelancongan Negeri Sembilan.
“Kita hendak memperkasa dan memperkenalkan budaya Adat Perpatih, mereka tahu kita ini ada suku biduanda, tanah datar dan lain-lain yang berada di masyarakat kita.
“Kemudian jika mereka faham tentang adat meraka akan rasa seronok bahawa ianya menjaga kepentingan kita dari segi waris, harta, agama dan merangkumi. Insya-Allah jika berjaya saya yakin anak muda akan minat dengan budaya Adat Perpatih ini,” ujar beliau.
Muhammad Sufian yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata usaha itu juga mahu memastikan generasi baharu memahami dan menghargai adat ini yang menjadi tonggak kepada keutuhan Negeri Sembilan sebagai negeri beradat.
“Penting kerana tidak mahu anak muda termasuk orang lama juga mereka tak biasa dengan adat yang menjadi pegangan hidup sentiasa menjadi, maka mereka perlu tahu dan ada ilmu berkenaan adat ini,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa menfokuskan empat teras dalam memperkasa Seri Menanti.
Katanya ini meliputi, infrastruktur, pendidikan, pelancongan, pembangunan memperkasa struktur organisasi dan modal insan.
Untuk rekod, DUN Seri Menanti ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Muhammad Sufian dengan Jamali Salam mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online