Yakin Rakyat Pilih Kerajaan Perpaduan Tadbir Pulau Pinang – Reezal Merican
BERTAM, 9 Ogos –Tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan melabuhkan tirai dalam tiga hari lagi, parti-parti yang bertanding giat menjalankan kempen dengan pelbagai gaya, menyantuni pengundi di rumah-rumah, ‘walkabout’ hinggalah taqarrub dan ini tidak terkecuali calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Kata Reezal Merican, beliau yakin pengundi di Bertam dan seluruh negeri Pulau Pinang memberi peluang dan kemenangan pada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri serta melakukan pelbagai lagi pembaharuan.
“Saya ada keyakinan Kerajaan Perpaduan ini tetap teguh dalam tempoh lama. Beri peluang pada kerajaan ini untuk lakukan pelbagai pembaharuan dan menunjukkan kebolehan untuk mentadbir dan sebab itu berijtihad dan bersama di peringkat Pulau Pinang.
“Apa gunanya kalau wakil rakyat berstatuskan pembangkang dalam keadaan pertahankan yang lebih baik di luar kerajaan atau dalam kerajaan, tentulah dalam kerajaan akan lakukan lebih baik.
“Kita kena pragmatik tapi tak boleh lari dengan dasar dan tak boleh dari dari perkara-perkara yang bersifat fundamental serta terkandung dalam Perlembagaan. Namun yang terkandung dalam perlembagaan juga boleh merosakkan onak-onak kerana kesalahfahaman dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.
Dalam masa yang sama Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu menasihati pengundi-pengundi muda agar bijak memilih pemimpin kerana pilihan raya bukan bahan mainan.
“Anak-anak muda ini bijak dan tidak boleh menganggap ia nakal dari segi kematangan. Anak muda sekarang mempunyai serba maklumat. Ini bukannya bahan mainan, kalau datang pilihan raya dan berucap mesti perkara yang betul dan benar kerana tentu akan ditanya dan dipersoalkan.
“Nak lawan dan menang pilihan raya bukan sahaja bergelar ‘Yang Berhormat’. Di bahu terpukul satu amanah besar dan kesan pada rakyat Bertam,” jelas beliau.- UMNO Online