Tanjung Dawai Produk Pelancongan, Tekad Tingkatkan Taraf Ekonomi Rakyat – Shaiful Hazizy
TANJUNG DAWAI, 8 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kawasan tersebut amat berpotensi menjadi satu produk pelancongan yang terkenal.
Shaiful Hazizy yang mesra dikenali sebagai Tok Pon berkata, banyak kemudahan asas dan prasarana yang boleh dibangunkan dan seterusnya mampu meningkatkan taraf ekonomi rakyat di kawasan itu.
“Kita nak selesaikan masalah dan menambah baik kawasan pantai terutamanya surau dan sebagainya. Dari segi ekonomi ingin naik taraf arked dan juga bina arked baharu. Tanjung Dawai tempat jual hasil-hasil laut kering dan menjadi aktiviti utama untuk kaum-kaum ibu. Apabila ada kemudahan yang bertambah nampak banyak peluang peniaga-peniaga dapat meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.
“Kita ada tempat-tempat menarik seperti paya bakau paling indah di dunia, UNESCO sudah mengiktiraf tapi tidak diuar-uarkan. Kita hendak lebarkan jalan dan perkara itu perlu dibuat kerana Tanjung Dawai berpotensi kawasan pelancongan.
“Pelancongan di Tanjung Dawai sangat bagus seperti contohnya candi yang merupakan bahan tinggalan yang tertua di dunia. Ia menjadi satu tinggalan keagamaan masyarakat Hindu dan sebaris dengan candi Borobudur dan Angkor Wat dan boleh dijadikan tempat tumpuan tapi tiada promosi. Prasarana tidak dibangunkan dan ramai yang tidak tahu sebenarnya apa yang ada di Tanjung Dawai,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.
Seterusnya Ketua UMNO Bahagian Merbok mengharapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini anak muda harus berfikir secara rasional dan perlu menolak individu yang mempelopori budaya memaki hamun.
“Anak muda kena fikir secara rasional dan jangan mengundi ikut gelombang. Jangan terlalu bangga dan teruja dengan ‘keberanian’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Sekiranya ikut gelombang kerajaan Pas Kedah tidak ditumbangkan dan tidak sama dengan kerajaan pusat, maka keluarga di Tanjung Dawai akan terus dibelenggu segala permasalahan,” katanya.
Tegasnya, anak muda perlu melihat akhlak Sanusi yang sesuka hati menghina dan memaki hamun orang lain termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malah adik sendirinya turut menjadi mangsa. – UMNO Online