Mempertahan Sebuah Perjuangan, Melangkah Ke Hadapan

Salam Perpaduan,

1. Saya antara Ahli Parlimen muda/baru UMNO/Barisan Nasional (BN) yang dipilih majoriti rakyat di kawasan saya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu. Malam 19 Nov 2022, ketika pengumuman kemenangan di Dewan Taman Kota Jaya dihadiri hanya oleh beberapa sahabat setia parti dan yang teramai adalah jentera Pemuda UMNO Tenggara pada ketika itu.

2. Perasaaan amat bercampur baur. Dan, proses pembentukan kerajaan ambil masa sehinggalah Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

3. Proses pembentukan kerajaan ini dengan drama sepuluh Ahli Parlimen UMNO BN yang menandatangani akaun bersumpah (SD) lain menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan bukanlah rahsia. Saya pada ketika itu diberi kejelasan perihal situasi ini dengan amat teliti oleh Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan YB Datuk Seri Hj. Ahmad Maslan yang masing-masing kini Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Johor. Saya berdiri teguh dengan keputusan parti.

4. Ya, kita melaungkan ‘No Anwar, No DAP’ tapi jangan lupa ‘No PPBM’ juga di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum PRU-15. Jika, tiada ijtihad yang rasional dan waras. Malaysia sehingga kini tiada kerajaan yang stabil sebab bersama Pakatan Harapan (PH) pun tak boleh, bersama PN pun tak boleh. Tapi kalangan ‘ngai-ngai’ politik hanya cerita dan ungkapkan sebahagian sahaja situasi, seolah-olah ‘No Anwar, No DAP sahaja yang disebut walhal kita juga setuju ‘No PPBM’.

5. Ringkasnya, ijtihad politik demi Malaysia yang stabil telah dilakukan oleh Presiden UMNO dan pasukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga Dewan Tertinggi (DT) BN.

6. Dengan izin Tuhan, walau hanya 30 kerusi BN menang dalam PRU-15 iaitu 26 kerusi oleh UMNO, kita menjadi sebahagian kerajaan.

7. Keputusan bersama PH bukan bersama PN diperjelaskan berulang kali menerusi pelbagai sesi khas, taklimat Presiden dan PAU oleh Presiden UMNO sendiri. Tiada yang disembunyikan. Ia terkait dengan:

a) Menjunjung titah YDPA agar Malaysia stabil untuk pulih semula ekonomi Pasca COVID-19;
b) DAP tidak boleh semberono sentuh hal-hal Islam, Raja dan Melayu dalam Perlembagaan; dan
c) Kefungsian BN yang mestilah signifikan dalam Kabinet.

8. Ketika itu, saya masih ingat ungkapan dari Presiden.. petunjuk dari Tuhan, dengan segala mehnah keputusan yang dibuat secara musyawarah MKT UMNO dan DT BN ini tidak ubah seperti hikmah yang boleh disimpulkan;
“We lose fight, but we win battle..”, dan;

9. Tok Mat Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan – Timbalan Presiden) pula menasihatkan;
“Kita seperti orang lemas. Selamatkan diri, cari tempat selamat dan selepas sedia, kita aturkan seterusnya lima tahun ini.. untuk survival parti..”

10. Keputusan ini bukan mudah.. ia keputusan yang berat.. kita pernah dikhianati pimpinan PAS ketika bersungguh mahu lihat Perpaduan Ummah. Dan, saya yakin PPBM yang hasut pimpinan PAS untuk tidak patuh Piagam Muafakat Nasional. Air mata saya, sia-sia pada ketika pelancaran Muafakat Nasional.

11. Justeru, kita mesti pastikan tidak dipatuk ular dua kali… satu, oleh pimpinan PAS yang mengkhianati Muafakat Nasional dan dari PPBM yang wujud dengan nawaitu membunuh UMNO.

12. Atas segalanya itu, ugutan personal terhadap Yang Amat Berhormat (YAB) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menambah lagi keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan bersama PH adalah pilihan yang ada. Diugut untuk didakwa jika tidak ‘tutup’ UMNO oleh Tun Mahathir, boss PPBM bukanlah rahsia. Dan, tindakan untuk mempertahan UMNO walau diri didakwa atas pertuduhan terpilih adalah satu kejihadan dan tindakan berani yang diambil oleh seorang Zahid Hamidi.

https://www.facebook.com/manndzri/videos/253134917504585

13. Atas pendirian itu, saya secara peribadi ucap terima kasih kepada YAB Presiden dan merakamkan penghargaan kepada pasukannya MKT UMNO serta DT BN pada ketika itu yang telah melakukan ijtihad politik yang berat dan paling complicated sejak tanah air kita merdeka. Yang mustahak; bentuk kerajaan stabil dan sejahterakan rakyat.

14. Kita, ahli parti, orang UMNO sewajarnya bangga dengan ketua yang mempertahankan parti bukan seperti jiwa segelintir pimpinan (sama ada yang telah keluar atau masih duduk dalam parti) yang beria-ia mahu kita bersama parti (PPBM) yang mahu membunuh UMNO dengan pengharaman.

15. Melalui ucapan YAB Perdana Menteri dalam tag posting ini, inilah penaakulan yang signifikan bahawa kita mestilah secekal Presiden kita, mempertahankan parti dan dalam ketertewasan masih tegar mempertahan Islam dan Melayu. Dan peranan UMNO yang utama adalah memastikan agenda Islam dan Melayu tetap dibela dan terpelihara dalam epik perjalanan sebuah Kerajaan Perpaduan.

16. Melangkah ke hadapan, mari bersama-sama; Pertahankan Parti, Perjuangkan Agama dan Bangsa.

Wallahu’alam.

#SalutePresiden
#PolitikPermuafakatan

MANNDZRI HJ. NASIB

Ahli Parlimen Tenggara,
Timb. Ketua UMNO Bahagian Tenggara

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.