Kebersamaan Dan Keserasian Harus Diterjemahkan Pada PRN – Ahmad Zahid
GUAR CHEMPEDAK, 16 Julai – Pada 12 Ogos nanti Kedah mesti ‘kalih bagi sama’ dan parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan memerintah negeri ini, demikian tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ini kerana katanya, sesiapapun yang bakal menjadi Menteri Besar Kedah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) mestilah ada kebersamaan dan keserasian dengan pusat.
“Siapa yang Menteri Besar Kedah sama ada dari BN atau PH (Pakatan Harapan), siapa yang Datuk Seri Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim – Perdana Menteri) pilih itu kami sokong. Yang penting adalah kebersamaan. Apa yang wujud sekarang ini adalah keserasian sesama kita.
“Kita mesti lihat sekarang ini bagaimana kebersamaan ini harus diterjemahkan. Bahawa soal perbezaan itu adalah sesuatu yang telah berlalu. Dulu lawan tetap lawan kini lawan telah jadi kawan. Buat apa kita berlawan kita perkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
“Kita tak mahu ‘pak lawak’ memerintah negeri ini. Kita tidak mahu ‘political clown’ yang menjadi pemimpin kita. Saya tidak pernah menyangka bulan demi bulan, tahun demi tahun orang yang ‘loklak’ itulah yang memimpin negeri Kedah,” kata Presiden UMNO itu lagi.
Beliau berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Kedah, Sabtu malam di sini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta kepimpinan BN dan PH.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri juga turut mempertikaikan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang kononnya bersih tetapi hakikatnya tidak.
“Yang jadi pemimpin kononnya ‘bersih’ tapi belum tentu bersih. Lepas ni jadi kluster mahkamah. Hang naik hari-hari baharu hang tahu.
“Rakyat mahu tengok yang benar itu benar. Yang batil itu batil supaya rakyat semua tahu bahawa Kedah dipimpin oleh orang yang tipu rakyat,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid lagi, rakyat Kedah semakin bijak berpolitik dan mesti beri sokongan pada kerajaan hari ini.
“Rakyat negeri Kedah yang baik, matang dalam bidang politik. Kalau masalah di Kedah mahu diselesaikan, kalau masalah air mahu diselesaikan, kalau masalah nadir bumi mahu diselesaikan, kalau kemajuan pembangunan mahu diselesaikan. Ini adalah ubatnya dan beri sokongan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim,”ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan