Tun… Sebelum Mengata Orang, Pandang Dulu Diri Sendiri – MK

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menempelak sikap berpolemik murahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang meminta pengundi lebih bertanggungjawab dan tidak tunduk kepada politik wang.

Jelas beliau yang mesra dengan panggilan MK, dakwaan yang bersifat polemik murahan itu sengaja ditimbulkan oleh pemimpin itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Beliau tidak henti-henti memainkan sentimen sayang negara selama ini seolah-olah dia seorang saja yang sayangkan Malaysia, manakala orang lain tidak.

“Persoalan rasuah yang disebutkan Tun M itu sebenarnya isu lapuk yang didendang semula semata-mata untuk memberikan imej buruk kepada Kerajaan Perpaduan terutama menjelang PRN,” katanya.

Respon tersebut diberikan beliau ekoran kenyataan Tun Mahathir yang berkata sekiranya rakyat menyayangi negara, mereka jangan melibatkan diri dengan menerima wang daripada perasuah.

Malah menurut Muhamad Khizri rakyat kini semakin bijak menilai komiten kerajaan dalam menangani isu rasuah yang sudah pun dimulakan ketika era pentadbiran bekas Ahli Parlimen Langkawi suatu ketika dahulu.

“Ini masa yang sesuai untuk beliau berhenti bermain dengan polemik murahan. Rakyat boleh menilai usaha berterusan Kerajaan Perpaduan untuk membanteras rasuah, sesuatu yang berlaku sejak lama dulu, termasuk ketika zaman Perdana Menteri keempat dan ketujuh.

“Jika dakwaan begitu ditujukan kepadanya, maka ia akan jadi dakwaan jahat, tidak berasas dan sebagainya. Sama juga dengan UMNO/BN (Barisan Nasional), kita juga nak nyatakan bahawa tuduhan sogokan kepada pengundi adalah tidak berasas sama sekali.

“Sedangkan rasuah ni bukan saja bagi duit, beri projek, konsesi kepada kroni juga rasuah seperti mana yang Tun pernah lakukan dulu. Tun perlu ingat, tunggang agama, tawaran syurga, neraka untuk kepentingan politik pun rasuah juga. Tun pun tahu hal itu. Jadi sebelum mengata orang, pandang dulu diri sendiri,” bidas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.