Pemuda UMNO Sedia Hadapi PRN Enam Negeri – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pergerakan itu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang terlibat dengan penglibatan menyeluruh.
Bercakap kepada UMNO-Online, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau seterusnya berkata kesiapsiagaan itu akan diterjemahkan apabila semboyan PRN bermula secara rasmi pada hari penamaan calon kelak..
“Alhamdulillah kita bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN nanti dan semua jentera Pemuda telah kita jumpa dan masing-masing dalam semangat yang tinggi. Insya-Allah kita akan berdepan PRN ini dengan suasana serta semangat yang cukup bersedia dan kita harapkan kesediaan itu akan diterjemahkan dalam keputusan PRN,” katanya.
Menyentuh soal kempen, beliau seterusnya menjelaskan biarpun tarikh sebenar berkempen masih jauh, masing-masing telah diingatkan agar sentiasa berhemah dan bersikap matang dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan.
“Pendekatan kempen antara negeri sudah tentu berbeza malah kita sedia maklum hari ini musim digital dan zaman digital. Sudah pasti pendekatan kita sudah tentu berbeza…jadi bagaimana tindakannya tunggu PRN nanti kita akan tunjukkan apakah kelainan pada kali ini.
“Pemuda cara kita… paling penting saya sudah tekankan kepada semua kita berkempen secara berhemah dan matang serta jangan merendahkan orang lain dan menghina orang lain.
“Politik adalah politik dan kita perlu menjaga tali persaudaraan sesama kita. Kita mahu melihat politik hari ini yang dipelopori oleh orang muda adalah politik progresif serta politik yang membina dan bukannya menghancurkan. Sebab negara kita perlu dibina dengan politik yang matang dan baru,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar golongan muda khususnya untuk menyemak segala fakta yang dikemukakan supaya maklumat yang diterima itu benar-benar sahih dan bukannya berdasarkan kepalsuan semata-mata.
“Orang muda… kita sedia maklum bahawa informasi hanyalah dihujung jari. Jadi sebelum kita mahu tahu perkara itu benar atau sebaliknya, kita perlu membuat kajian sedikit terlebih dahulu apakah benar atau hanya fitnah.
“Maka saya serahkan kepada orang muda untuk menggunakan kehebatan minda dan pemikiran yang tajam serta matang untuk kita menilai sesuatu isu. Jadi mana-mana pemimpin parti politik yang menggunakan isu perkauman terlalu ekstrim dan sebagainya inilah yang perlu kita tolak. Sebab hari ini negara Malaysia perlu dilihat semakin matang dan bukannya semakin ke belakang,” tambahnya lagi.- UMNO Online