Gerak Kerja Berpasukan Puteri UMNO Bantu Parti Jayakan Matlamat PRN
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi penuh yakin dan percaya gerak kerja berpasukan mampu membawa perubahan dalam apa jua senario dan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak bagi menjayakan matlamat yang disasarkan.
Menurut beliau tanpa komitmen yang padu daripada semua pihak, segala perancangan serta pelaksanaan bukan sahaja tidak dapat dicapai malah diyakini bakal membawa kepada kehancuran yang akhirnya merugikan semua pihak.
“Kepada semua jentera Puteri seluruh negara, jangan putus asa dan kekalkan momentum masing-masing serta kita boleh lakukan bersama dengan satu matlamat serta satu tujuan bekerjasama.
“Ingat… kita bekerja dalam satu pasukan dan kita tidak boleh capai perubahan jika kita lakukan seorang tetapi jika kita lakukan bersama-sama, dengan restu Allah SWT, kita mampu berbuat apa sahaja,” katanya kepada UMNO-Online.
Dalam pada itu beliau turut mengajak seluruh jentera Puteri agar tidak terperangkap dengan segala dakyah yang akan dimainkan oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha menggagalkan kelancaran jentera.
Tambah beliau dengan perkembangan politik terkini, sudah pasti pelbagai persepsi akan ditimbulkan khususnya dalam tempoh berkempen kelak dalam usaha meracuni pemikiran jentera parti serta menggugat segala perancangan yang telah disusun.
“Satu benda yang selalu saya ungkapkan… ini adalah rumah kita dan kita mungkin tahu rumah ini bocor, dinding koyak… tetapi apakah kita mahu mendengar orang di luar rumah kita untuk kita koyakkan serta bocorkan lagi rumah kita sedangkan kita berada di dalam rumah ini.
“Kepada semua… janganlah kita bakar rumah kita dan jangan rosakkan rumah kita kerana orang di luar sana tidak duduk sepertimana kita tinggal hari ini. Janganlah kita jadi pemudah cara kepada mereka di luar sana untuk menghancurkan kita daripada dalam,” pesannya.
Dalam pada itu beliau turut menegaskan gerak kerja Puteri UMNO sedang dilipatgandakan dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan pada PRN enam negeri nanti.
“Insya-Allah kami tengah kemaskan gerak kerja kami dan semestinya perancangan sebelum hari penamaan calon sehinggalah hari pengundian nanti. Doakanlah Puteri UMNO berjaya lakukan yang terbaik untuk membantu parti,” tambahnya. – UMNO Online