PN/Pas Cuba Alih Kegagalan Tadbir Negeri Kelantan Dengan Isu Negara – Zawawi
PASIR PUTEH, 17 Julai – Pas/Perikatan Nasional (PN) dilihat telah lari daripada acuan asal apabila mengaitkan isu-isu negara dalam ceramah-ceramah semata-mata untuk mengalihkan kegagalan mereka mentadbir negeri Kelantan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman mempersoalkan apakah mereka bercadang untuk menukar kerajaan sedia ada dengan memainkan isu semasa negara seperti kejatuhan nilai matawang ringgit dan sebagainya.
“Saya melihat Pas sudah lari daripada acuan ataupun fokus sebenarnya apabila dalam ceramah-ceramah mereka menitikberatkan isu negara. Apakah mereka bercadang untuk menukar kerajaan yang 14 tahun tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Bukan senang untuk mengubah negara.
“Cuma saya melihat mereka ini nak mengalih tumpuan rakyat daripada kegagalan yang mereka lakukan di negeri Kelantan secara asasnya. Apa yang mereka laksanakan di Kelantan ini gagal, maka mereka mengalihkan tumpuan rakyat kepada negara dengan isu kejatuhan matawang dan sebagainya.
“Sedangkan semua perkara ini berlaku juga disebabkan oleh ceramah dan momokan pihak mereka sendiri sehinggakan para pelabur rasa Malaysia ini tidak selesa serta aman untuk pelaburan,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, juga dapat dilihat sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh seorang bekas pemimpin UMNO negeri itu yang dipecat kemudian sertai Pas, parti yang lama ditentangnya sebelum ini.
“…yang baru sahaja dipecat daripada UMNO telah ‘dikitar semula’ oleh parti ini (Pas) iaitu Tan Sri Annuar Musa. Beliau ini tidak pernah membincangkan tentang kelebihan negeri Kelantan bawah pemerintahan Pas itu sendiri.
“Beliau memburukkan para pemimpin seperti Perdana Menteri dalam ceramah-ceramahnya. Ini bukan fokus utama untuk rakyat. Fokus utama rakyat adalah kerajaan negeri. Fokus kerajaan negeri pada hari ini mungkin sudah berjaya di sisi Annuar Musa yang beliau pernah tentang sebegitu lama.
“Disebabkan beliau dipecat daripada UMNO, maka pendiriannya sudah berubah. Ini bermakna beliau adalah manusia yang tidak ada pegangan dan falsafah dalam hidup. Tidak ada pegangan bahawa perjuangan mereka adalah untuk rakyat, bukan dirinya sendiri,” katanya lagi.
Zawawi turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan segala sentimen dimainkan oleh Pas ketika berkempen yang sudah semestinya digunakan untuk mengalihkan kegagalan mereka mentadbir.
“Jadi saya ingin memohon rakyat Kelantan agar tidak mendengar ceramah-ceramah yang pelik umpama ‘beli tiket kereta api, naik bas’. Hari ini PRN (Pilihan Raya Negeri), nak memilih menteri besar dan kerajaan Kelantan. Bukan untuk memilih kerajaan Malaysia. Itu sudah lari daripada tajuk.
“Apakah kerana kerajaan Kelantan begitu berat dan gagal sekali sehingga mengalihkan tumpuan kepada negara. Pilihan Raya Umum (PRU) telah selesai. Masing-masing tidak dapat membentuk kerajaan sehingga titah Yang di-Pertuan Agong.
“Maka, tunggulah lima tahun lagi untuk mengubah negara. Sekarang ini kita berbincang tentang kerajaan negeri. Jangan kita tidak berpijak di bumi yang nyata,” katanya lagi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara rasminya telah dibubarkan pada 22 Jun lalu bagi memberikan laluan kepada PRN yang bakal berlangsung pada Ogos ini.
Kedudukan terkini bagi kerusi DUN Kelantan adalah PN dengan 38 kerusi dan Barisan Nasional, tujuh kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.
Selain Kelantan, negeri yang terlibat dalam PRN bulan hadapan adalah Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman