Budaya Caci Maki, Hamun Dan Fitnah Tidak Boleh Diterima Sama Sekali – Ahmad Zahid

MERBOK, 15 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan budaya memaki-hamun, mencaci dan memfitnah dalam berpolitik tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, budaya negatif tersebut yang jelas bertentangan dengan ajaran agama tidak seharusnya wujud walaupun berbeza pendapat.

“Budaya caci-maki hamun, memfitnah seolah-olah menjadi budaya mereka. Kalau mahu berbeza pendapat gunakan fakta dan gunakan perbezaan pendapat itu dengan akhlak, bukannya dengan cara tidak mempunyai akhlak politik langsung.

“Malah juga pemimpin itu berasal dari sebuah parti yang berasaskan agama. Tentu ini beri gambaran yang sangat negatif, bukan hanya pada para pengundi tetapi pada rakyat keseluruhannya.

“Terlajak perahu boleh ditarik terlajak kata buruk padahnya. Saya fikir yang terbaik agensi penguatkuasaan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana ini menyentuh perkara-perkara yang melibatkan agama, raja-raja dan bangsa,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis ramah mesra Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersama kepimpinan UMNO bahagian dan jawatankuasa empat peringkat seluruh negeri Kedah.

Dalam masa yang sama beliau menanggap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor sebagai pelawak politik dan tidak mempunyai kebijaksanaan terhadap pengundi-pengundi di Kedah.

“Saya tak fikir ianya soal aura, tapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sebagai ‘famous’ dan popular maka serahkan kepada kebijaksanaan pengundi-pengundi di negeri Kedah.

“Yang kita cari adalah kerajaan yang kredibel, berwibawa, pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat dan bukan hanya menjadi pelawak politik,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengarahkan jentera-jentera UMNO/BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bergerak bermula di peringkat lokaliti atau cawangan sehingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bahagian.

“Ianya telah dikemukakan oleh enam Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri itu dan telah mengemukakan tiga nama bagi tiap-tiap DUN yang akan dipertanding dan akan muktamadkan.

“Pengumuman dan watikah calon akan diadakan pada 21 Julai malam di PWTC,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.