Manfaatkan PRN Demi Kepentingan Rakyat, Pilih Parti Sealiran Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berharap rakyat di enam negeri yang bakal diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan memilih parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, penting untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan Pusat demi memastikan agenda kemajuan dilaksanakan dengan baik.

“Apabila kerajaan Pusat dan negeri yang sepapan, sebaris kelebihannya adalah penyelesaian komunikasi dan pelaksanaan agenda lebih mudah.

“Kerana ia akan memberikan kelebihan kepada negeri dan kerajaan Pusat, itu diputuskan oleh rakyat sendiri.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke negeri-negeri sebagai contoh sejak beberapa minggu di Kedah, Terengganu dan Kelantan kita tengok banyak cabaran-cabaran dan ada masih tidak dapat diselesaikan dalam apa sebab sekalipun.

“Orang boleh tuduh-menuduh kerajaan pusat sebab bertukar-tukar kononnya atas nama demokrasi tapi kestabilan itu tergugat… rakyat yang terumbang-ambing, masalah air, pelbagai lagi.”

Gesa beliau kepada pengundi, pilihlah dengan penuh kebijaksanaan dan kematangan serta bukan kerana kemarahan.

Beliau berkata demikian menerusi program Malaysia Di Ambang PRN 2023 yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online, turut menjadi panel adalah Ketua Wanita Keadilan Pusat, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengambil contoh seperti yang berlaku di Sabah dan Sarawak apabila kerajaan negeri memutuskan menyokong Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Sebab kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak sudah menjalani PRN dahulu dan mereka memilih menjadi sebahagian daripada kerajaan Pusat kerana mengambil kira kesan kepada kerajaan negeri.

“Lihat kepada kematangan sebagai pemimpin memilih gabungan politik yang akan memberi kekuatan kepada kerajaan negeri kerana yang mendapat keuntungan dalam PRN ini adalah rakyat negeri itu sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.