PRN: Media Sosial Tumpuan Utama Pemuda UMNO – Zaim Tawfek
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Media sosial kini menjadi platform yang sangat popular untuk dimanfaatkan khususnya dalam kalangan anak muda bagi mengekspresi dan menyatakan apa sahaja pandangan mereka terhadap isu-isu di dalam mahupun luar negara.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ahmad Zaim Ahmad Tawfek berpandangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menumpukan sepenuh perhatian pada media sosial khususnya bagi mendekati golongan muda.
“Gerak kerja Pergerakan Pemuda UMNO pada PRN akan lebih proaktif dan bertumpu di media sosial kerana kita tahu anak muda sering menggunakannya sebagai platform utama mereka.
“Kita akan buat pemerkasaan dari segi media sosial dan kena ada sinergi antara Pemuda dan Puteri UMNO kerana sama-sama mempunyai ‘target’ yang sama iaitu pengundi di bawah yang berumur bawah 40 tahun.
“Kita akan buat ‘wave’ bagi mendapat kembali kepercayaan anak muda kepada UMNO terutamanya pada enam negeri yang bertanding pada PRN ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Zaim, Pemuda UMNO telah melakukan mobilisasi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memenangi PRN serta menangkis dakyah pembangkang.
“Kita sudah buat kerjasama antara UMNO/BN dan PH serta merangkumi di ruang media sosial bagi menangkis semua serangan pembangkang.
“Kedua-dua parti ini mempunyai kepakaran dalam media sosial. Kita tahu rahsia pembangkang dan menangkis serangan dari mereka. Kita mestilah menyerang kembali segala perkara yang dilontarkan oleh pembangkang dan cuba mendapatkan kepercayaan rakyat agar kembali pada UMNO/BN,” ujarnya.
Dalam masa yang sama kata Zaim lagi, kebersamaan kepimpinan politik di pusat dan negeri perlu seiring kerana bakal memberikan manfaat terutamanya kepada pembangunan yang diharapkan oleh rakyat.
“Rakyat perlu memanfaatkan peluang sebaik mungkin menjelang PRN ini kerana kerajaan negeri yang bakal ditadbir nanti memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan.
“Kita jangan bersikap emosi, mempercayai sentimen yang akhirnya menjadikan negara ini tiada hala tuju dan semakin lama makin mundur,” ujarnya. – UMNO Online