PRN: UMNO Sabah Sedia Turun Bantu Selangor – Bung Moktar
KOTA KINABALU, 10 Julai – Jentera UMNO Sabah bersedia membantu kempen pilihan raya di enam negeri Semenanjung Malaysia yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebagaimana yang diamanahkan oleh UMNO Pusat, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah untuk membantu proses berkempen di Selangor.
Namun, sekiranya ada negeri lain yang memerlukan jentera UMNO Sabah dalam berkempen, mereka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Ketika ini, UMNO Sabah merekodkan jumlah keahlian paling ramai di seluruh negara dengan seramai 583,979 orang ahli.
Dengan kekuatan yang ada, jentera UMNO Sabah bersedia untuk berjuang dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dan juga Kerajaan Perpaduan.
Walaubagaimanapun, bilangan pemimpin dan jentera yang akan ditugaskan bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Semenanjung akan ditentukan kemudian.
“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di beberapa pusat daerah mengundi di Parlimen Gombak baru-baru ini.
Turut bersama beliau adalah Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan beberapa orang Ketua UMNO bahagian.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, UMNO Sabah akan berusaha untuk melaksanakan kempen yang terbaik dan berkesan seperti pengalaman yang dilalui semasa membantu kempen di PRN Melaka dan Johor, bagi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam PRN kali ini.
“Kita akan bergerak, berkempen dari rumah ke rumah dan mengurangkan kempen secara perhimpunan.
“Kempen rumah ke rumah walaupun di Selangor ini kawasannya agak luas, namun ianya lebih efektif dan berkesan” jelas Bung.
Kira-kira 9.7 juta orang pengundi akan terlibat dalam PRN di enam negeri yang akan diadakan secara serentak pada 12 Ogos.
Enam negeri tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala, 8 Ogos pula sebagai tarikh pengundian awal.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. – UMNO Online