PRN: Golongan Muda, Undi18 Kini Semakin Bijak Buat Pilihan – Fikhran

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi berpandangan pengundi baharu berusia 18 tahun kini tentunya semakin bijak membuat pilihan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Jelas beliau, mereka matang dalam menyemak fakta membabitkan isu-isu yang dibangkitkan termasuk menepis pelbagai sentimen dibawa pembangkang.

“Untuk undi 18 ini kita lihat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada sesetengah pengundi ini belum cukup matang sebab dia memilih mengikut sentimen, perkara-perkara yang belum disahihkan.

“Namun mereka kini lebih kepada fakta-fakta yang dikaji, mereka juga lebih tahu akibat daripada memilih calon yang salah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu dalam pada itu menyambut baik langkah dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjungi universiti tempatan dalam program Temu Anwar.

Katanya ini penting dalam memberikan pendedahan kepada golongan ini membabitkan isu-isu semasa negara serta kebajikan mereka.

“Jadi melihat kepada perkembangan tersebut tambahan pula dengan lawatan yang dibuat oleh perdana menteri ke universiti memberi penerangan mengenai perkara yang berkaitan.

“Kita dapat lihat anak muda umur 18 tahun sudah celik dengan perkara-perkara yang sepatutnya.

“Saya yakin dengan mereka lebih celik dan pintar untuk membuat keputusan dengan memilih kerajaan yang lebih stabil,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.