Pasca PAU 2023: Satu Resolusi Pelan Ekonomi Melayu Yang Menyeluruh – Ali Syariati

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Presiden Persatuan Mahasiswa Machang Malaysia (PEMANCAR) Ali Syariati Abdul Wahab berkata Kongres Ekonomi Melayu adalah antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Menurutnya, beliau memahami bahawa tujuan utama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhasrat mengadakan Kongres Ekonomi Melayu bermatlamat untuk mencari resolusi bagi penambahbaikan pelan ekonomi yang menyeluruh.

“Kongres Ekonomi Melayu merupakan salah satu daripada tujuh perkara yang diutarakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada PAU 2023 baru-baru ini kerana terdapat jurang ekonomi yang tinggi melibatkan penduduk di luar bandar dan di dalam bandar.

“Kita lihat negara-negara maju dan berjaya dari segi ekonominya dapat mengurangkan kemiskinan serta jurang ekonomi selepas pelaksanaan kongres tersebut. Kadar kemiskinan di luar bandar dapat dilihat 12 peratus.

“Sudah semestinya ianya dapat merangka satu strategi ekonomi baharu bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu dan sekiranya isu ketaksamaan ekonomi berterusan dan tidak ditangani sudah pasti akan merugikan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambahnya lagi, peluang ekonomi dapat meningkat apabila menggunakan teknologi yang terkini bagi menambah pendapatan.

“Kini orang muda boleh menggunakan pelbagai teknologi yang baharu dan ianya salah satu alternatif yang dapat meningkatkan lagi ekonomi justeru dapat melahirkan peluang-peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Ali lagi penubuhan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Khas Wanita adalah salah satu inisiatif bagi meningkatkan lagi ekonomi wanita.

“TVET Khas Wanita dapat melahirkan lebih ramai wanita yang berkerjaya, profesional dan berdaya saing. Ini adalah salah satu inisiatif bagi meningkatkan kebolehan pasaran wanita di dalam menjana ekonomi negara dan alam pekerjaan.

“Program TVET khas Wanita ini dapat membantu golongan tersebut dan meningkatkan lagi kemahiran mereka dengan menggariskan pelbagai inisiatif dan insentif dalam merealisasikan pembangunan ekonomi wanita,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menubuhkan TVET khas wanita atas saranan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika ucapan dasar Persidangan Wanita UMNO pada PAU 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.