UMNO Melalui Fasa Rejuvenasi, Akan Terus Berubah Mengikut Zaman – Ahmad Izwan
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ahli dan para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 perlu mewajahkan kepada masyarakat bahawa UMNO kini melalui fasa rejuvenasi dan akan terus berubah mengikut peredaran zaman.
Naib Ketua UMNO Bahagian Ampang, Ahmad Izwan Hamzah berkata, perkongsian Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada PAU lalu mengenai jumlah pendaftaran ahli baharu yang didominasi oleh anak-anak muda sudah semestinya dapat melenyapkan sangkaan bahawa ‘UMNO tidak laku’.
“Setiausaha Agung UMNO menyatakan dalam laporan beliau bahawasanya anak-anak muda pada hari ini dalam tempoh beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), telah ada peningkatan dalam jumlah keahlian.
“Tahniah kepada sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri kerana ini merupakan satu titik tolak kerana sebelum ini ramai menganggap anak muda menolak UMNO,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, UMNO akan terus berubah dan relevan sekiranya pemikiran ahli itu didoktrinkan bermula daripada peringkat Pergerakan Pemuda dan Puteri.
“Maka, sudah pasti akar umbi harus memperlihatkan kekuatan di peringkat Pemuda dan Puteri itu. Kita wajahkan kepada masyarakat di luar sana bahawasanya UMNO kini melalui fasa rejuvenasi, keterampilan kepada anak-anak muda yang baharu.
“UMNO akan berubah, akan terus relevan sekiranya pemikiran ahli itu sendiri didoktrin bermula daripada peringkat pemuda dan puteri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh ucapan dasar presiden yang mengingatkan para perwakilan agar menginsafi dan mengambil hikmah daripada kejadian PRU lepas.
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 berasaskan kepada ucapan dasar presiden menyatakan kepada seluruh ahli parti khususnya para perwakilan agar menerima dengan hati terbuka bahawasanya UMNO/Barisan Nasional (BN) kini berada sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh 19 parti gabungan.
“Justeru, presiden mengingatkan kepada para perwakilan dan seluruh ahli parti supaya terus menginsafi atas kekalahan pasca PRU lepas dan mengambil hikmah atas apa yang berlaku.
“Maka, kepimpinan di peringkat tertinggi telah membuat keputusan dan ini hikmah yang ditunjukkan kepada perwakilan serta seluruh ahli parti. Secara tidak langsung, hanya 30 kerusi sahaja dan tanpanya kita tidak boleh membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya lagi.
Ahmad Izwan turut mengingatkan para perwakilan yang hadir agar mengambil hikmah daripada segala kejadian berlaku dan turut menegaskan bahawa kestabilan politik negara amat penting.
“Kepada perwakilan yang hadir pada PAU tahun ini, banyak hikmah yang berlaku. Apa pun, semua sekali sama ada di peringkat atas sehinggalah ke akar umbi mesti berjiwa besar, menerima bahawasanya apa yang berlaku ini adalah ketentuan.
“Hari ini kita berada sebahagian daripada keluarga kerajaan yang bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat. Walaupun dengan 30 kerusi, tetapi ketentuan ini atas dasar nak membentuk kerajaan maka itu kestabilan negara sangat penting,” katanya lagi.
Jumlah penambahan keahlian baharu UMNO dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023 adalah seramai 13,442 orang, sekaligus menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan parti ini tidak lagi menjadi pilihan.
Sebanyak 8,876 (66 peratus) ahli baharu yang mendaftarkan diri berumur 18 hingga 30 tahun. Manakala 2,676 (20 peratus) berumur 31 sehingga 40 tahun dan 1,890 (14 peratus) berumur 41 tahun ke atas. – UMNO Online